Masjid Albukhary bakal manfaat lebih 1,500 keluarga Islam

SUNGAI PINANG – Pembinaan sebuah masjid di atas tanah seluas 3.3 hektar di Bandar Seri Pinang dekat sini bakal memanfaatkan lebih 1,500 keluarga Islam apabila siap kelak.

Selain itu, masjid yang mampu menampung sehingga 2,000 jemaah dalam satu-satu masa tersebut bakal menyelesaikan masalah Surau AsSolihin yang kini tidak dapat menampung pertambahan jemaah.

Masjid yang menerapkan konsep ‘masjid dalam taman’ itu bakal menjadi masjid pertama di Pulau Pinang yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir pada upacara simbolik Majlis Pecah Tanah Masjid Albukhary menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Albukhary yang membiayai kos pembinaan masjid berjumlah RM5 juta dan seterusnya mewakafkannya kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun (Yang di-Pertua Negeri, TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas) kerana mengambil inisiatif sendiri mencadangkan kepada Yayasan Albukhary supaya mewakafkan sebuah masjid di kawasan ini,” ucapnya pada majlis yang disempurnakan oleh TYT di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan wakil daripada Yayasan Albukhary, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Difahamkan, masjid yang terletak berdekatan Persiaran Karpal Singh itu bukan sahaja strategik, malah reka bentuknya yang dipilih sendiri oleh TYT mampu menggamit kehadiran pelancong.

Masjid Albukhary bakal dilengkapi dengan ruang solat lelaki dan wanita, ruang pejabat, dewan kuliah, bilik pengurusan jenazah serta 100 ruang parkir yang selesa.