Masyhur Jalan Ahmad Nor demi kenang jasa – KM

O l e h : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG – Jalan sambungan baru sepanjang 612 meter dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke persimpangan Jalan Jelutong, Jalan Perak dan Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim kini dimasyhurkan sebagai Jalan Ahmad Nor.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah pemasyhuran itu sebagai mengenang jasa Ahmad dalam membela nasib kaum buruh di negara ini.

“Allahyarham Ahmad Nor memiliki personaliti yang disukai ramai, di samping dapat komunikasi mudah dengan rakyat daripada pelbagai kaum,” katanya pada Majlis Perasmian Jalan Ahmad Nor di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut menyertai majlis pemasyhuran tersebut.

Guan Eng berkata, kegunaan Jalan Ahmad Nor itu diharap dapat mengurangkan risiko kesesakan lalulintas, khususnya pada waktu puncak.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng mempersoal kos pembinaan jalan tersebut yang dianggap mahal, bernilai RM24 juta yang terpaksa ditanggung oleh pemaju IJM Corp. Bhd..

Menurut beliau, caj utiliti seperti kerja-kerja pemindahan pelbagai kabel bawah tanah berjumlah hampir 30 peratus daripada keseluruhan kos projek Kerajaan Pusat tersebut terpaksa ditanggung oleh pemaju, akhirnya membazirkan dana awam rakyat juga.

Difahamkan, IJM Corp. Bhd. turut membiayai pampasan kepada 71 pemilik rumah, 86 keluarga dan 35 penyewa yang berjumlah RM6 juta.

Ahmad Nor dikenali sebagai aktivis kesatuan sekerja, pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan CUEPACS pada sesi 1983 hingga 1986, serta pernah menjadi Presiden Peninsular Malaysia Customs Officers Union.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Melayu DAP pertama selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 bagi kawasan Bayan Baru.

Ahmad Nor meninggal dunia pada 11 Februari 2003, semasa berusia 60 tahun.