MBPP akan terus menyelenggara kemudahan sukan, stadium & tanah lapang milikannya – Ahli Majlis

Admin

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang diadakan pada 17 Januari lalu telah membuat ketetapan untuk terus menyelenggara semua kemudahan sukan, stadium, kawasan rekreasi dan tanah lapang milikannya.

Perkara ini dimaklumkan Ahli Majlis MBPP, Nur Zarina Zakaria yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan ketika membentangkan pengesahan keputusan mesyuarat pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Katanya, setelah perbincangan diadakan bersama-sama pelbagai jabatan dan pihak bertanggungjawab, MBPP mengambil maklum dan bersetuju sebulat suara bahawa ia tidak akan diserahkan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.

“Selepas membuat penilaian, hasilnya mendapati bahawa semua kemudahan dan tanah lapang ini telah diselenggara dengan elok dan baik oleh MBPP selama ini.

“Cuma, bagi kerja-kerja menyelenggara ia dilakukan secara berperingkat mengikut jadual.

“Justeru, keputusan sebulat suara telah dicapai bahawa kemudahan-kemudahan ini masih kekal di bawah tanggungjawab MBPP dan tidak akan diserahkan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang untuk diambil alih, kita (MBPP) akan terus menyelenggaranya,” ujarnya lanjut pada sidang media selepas MBM di sini baru-baru ini.

Turut serta, Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali.

Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang yang ditubuhkan tahun lalu adalah untuk memastikan semua prasarana dan kemudahan sukan di negeri ini diuruskan secara berpusat.