MBPP, IAPWA bakal jalin kerjasama kawal anjing jalanan

GEORGE TOWN – Bagi mengawal populasi anjing jalanan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam baru-baru ini bersetuju melaksanakan Program Zero Stray melalui kaedah Trap, Nueter and Release (TNR) bersama-sama International Aid For The Protection and Welfare (IAPWA).

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, program tersebut merupakan pendekatan baharu yang akan menggunakan kaedah TNR dalam usaha MBPP mengawal dan mencegah anjinganjing terbiar di kawasan pulau dengan kerjasama bersama-sama IAPWA.

“Serentak itu, ia juga merupakan langkah untuk mencegah wabak yang datang dari anjing-anjing terbiar ini, iaitu dengan memerangkap, kembiri dan mengembalikannya (melepaskannya) semula,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam merangkap Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong dan Pengarah Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, Dr. P. Judy Shoba.

Mengulas lanjut mengenai kos pelaksanaan program tersebut, Judy Shoba menjelaskan bahawa sebahagian besar daripada kos projek akan ditanggung oleh IAPWA.

“Kos-kos seperti membawa doktor datang ke sini (Pulau Pinang), vaksin dan (ubat) pemandulan semuanya akan ditanggung oleh IAPWA sepenuhnya.

“MBPP hanya perlu menyediakan tempat, alatan untuk menangkap anjing dan kos utiliti sahaja,” jelasnya.

Difahamkan, MBPP dijangka akan menandatangani perjanjian bersamasama IAPWA dalam tempoh terdekat, dan sekiranya projek tersebut berjaya, MBPP akan menjadi PBT pertama dalam negara yang melaksanakan program seumpamanya.