MBPP, MPSP terima penarafan 5 bintang SSR-PBT

GEORGE TOWN – Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing berjaya mencapai penarafan lima bintang dalam Sistem Star Rating (SSR)-PBT bagi tahun 2016 oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Perkara tersebut diumumkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow di sini baru-baru ini.

Katanya, penarafan tersebut diperoleh apabila kedua-dua PBT berkenaan mempamerkan prestasi cemerlang terhadap kriteria ditetapkan meliputi pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan, penyertaan komuniti dan pandangan penduduk.

“Kedua-dua PBT menunjukkan peningkatan membanggakan apabila memperoleh penarafan lima bintang bagi tahun 2016.

“Jika tahun sebelumnya, MBPP dan MPSP hanya memperoleh empat bintang untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2011 dan 2013, manakala tiga bintang (2008).

“Ini merupakan kejayaan memberangsangkan. “Tahniah untuk semua kakitangan dan warga pengurusan MBPP dan MPSP,” ujarnya ketika memaklumkan perkara tersebut selepas senarai penuh pemenang (PBT) diumumkan menerusi Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang bersidang 10 Julai lalu.

Sebanyak 41 daripada 101 PBT di Semenanjung Malaysia dan Labuan telah mencapai penarafan lima bintang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa MBPP merupakan antara PBT yang menerima markah tertinggi.

“Ini adalah pencapaian baik yang perlu dikongsi dengan semua yang telah bertungkus lumus, bukan sahaja warga MBPP dan MPSP, malah Ahli-ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan warga negeri Pulau Pinang,” kata beliau.