MBPP pasang alat pengesan paras air di 10 kawasan risiko banjir

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN WEI

DATUK KERAMAT – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini telah siap memasang 10 alat pengesan paras air efisien di kawasan hot spot yang dikenal pasti berisiko banjir sebagai persiapan awal menghadapi bencana itu kelak.

Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali berkata, sistem itu dibangunkan selaras dengan perancangan Kerajaan Negeri dan MBPP untuk membangunkan Sistem Bandar Pintar di bahagian pulau mulai tahun ini.

Katanya, masalah banjir kilat yang berlaku ketika musim hujan adalah salah satu yang dititikberatkan, maka untuk mengatasi masalah tersebut, satu sistem peralatan telah dipasang dengan fungsi untuk mengesan paras air di dalam parit sebagai amaran awal.

“Ia akan berfungsi mengesan paras air di dalam parit supaya penghantaran maklumat, langkah berjaga-jaga dan tindakan dapat diambil dengan segera.

“Data-data yang dikumpul melalui sistem ini dapat membantu MBPP merangka pelan-pelan tindakan jangka masa pendek dan panjang untuk menangani masalah banjir,” jelasnya pada sesi lawatan ke tapak pemasangan alat pengesan paras air efisien di hadapan Sekolah Menengah Abdullah Munshi di sini 19 April lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir yang kini merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Ahliahli Majlis MBPP, Ketua-ketua Jabatan MBPP dan wakil dari syarikat pengendali, Sophic Automation Sdn. Bhd. (Sophic).

Ketika ditanya berhubung bagaimana alat tersebut berfungsi, Addnan menjelaskan bahawa semasa hujan turun, sistem akan memberi notifikasi ketinggian paras air di dalam longkang untuk tujuan pemantauan.

“Seterusnya amaran ini akan disalurkan kepada Hotline MBPP yang beroperasi 24 jam melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan maklumat akan segera disampaikan kepada Skuad Pantas MBPP untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, sistem pengesan paras air berkaitan merupakan sebahagian daripada Sistem Bandar Pintar yang sedang dibangunkan oleh syarikat Sophic yang telah dilantik oleh MBPP melalui tender terbuka.

“Teknologi yang akan diguna untuk melaksanakan projek ini adalah menggunakan (teknologi) IBM, dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun dari Disember 2017 sehingga 2020 dengan melibatkan kos sebanyak RM12 juta.

“Antara komponen yang terlibat untuk pelaksanaan Sistem Bandar Pintar tersebut adalah membangunkan sebuah pusat kawalan bagi dijadikan sebagai , (IOC) untuk pengumpulan data perancangan serta pemantau kerja-kerja MBPP dan analisis video,” ujarnya.