MBPP sangkal laporan laluan basikal guna cat hijau mudah tanggal

GEORGE TOWN – Semua pihak diminta agar tidak mempolitikkan isu cat hijau yang rosak bernilai RM30 juta di laluan basikal berdekatan Jalan Kapitan Keling di sini.

Presiden G Club, Dr. Lim Seh Guan berkata, isu penggunaan cat hijau di laluan basikal yang kononnya menelan kos RM30 juta tersebut tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Ia (laluan basikal) merupakan inisiatif bagi membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di samping menggalakkan lebih ramai umum berkayuh (basikal) ke tempat kerja.

“Apabila seseorang menggunakan basikal sebagai medium pengangkutan ke tempat kerja, maka sebuah kereta dapat dikurangkan di atas jalan raya.

“Jadi, jangan politikkan isu yang berkepentingan rakyat seperti ini,” katanya pada sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran dan Pengarah Bangunan MBPP, Ar. Yew Tung Seang.

Seh Guan yang hadir ke Komtar dengan menunggang basikal dari salah sebuah hospital swasta di Jalan Macalister, yakin bahawa usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan rangkaian laluan basikal adalah berbaloi untuk tempoh jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Rajendran menyangkal laporan beberapa portal berita atas talian yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan cat hijau mudah tanggal bagi laluan berkaitan.

“Sebenarnya kos RM30 juta itu adalah anggaran keseluruhan cadangan pembinaan rangkaian laluan berbasikal dari Tanjung Tokong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan seterusnya ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Kos tersebut juga termasuk laluan basikal di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town yang ‘dikatakan’ bernilai RM30 juta,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, berhubung isu kualiti cat yang digunakan, Rajendran menjelaskan bahawa pihak MBPP memantau setiap kerja dilakukan pihak kontraktor termasuk bahan yang digunakan.

“Bahan-bahan yang digunakan adalah mengikut piawaian antarabangsa iaitu menggunakan Deco FA Shield Prime sebanyak dua lapisan dan Deco FA Deck UV juga dua lapisan. Proses ini sahaja mengambil masa sekurang-kurangnya lapan hari untuk siap.

“Walau bagaimanapun, gambar yang disebarkan di portal berita atas talian berdekatan Jalan Masjid Kapitan Keling sebenarnya sedang diperbetulkan oleh pihak kontraktor dan bukannya rosak,” ujarnya.

} else {