MBPP senarai hitam pemandu parkir tanpa kupon, tidak bayar kompaun

GEORGE TOWN – Parkir kenderaan tanpa kupon di bahagian pulau bukan sahaja berdepan risiko saman oleh Penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), malah, akan disenaraihitamkan kelak jika tidak membayar kompaun berwajib.

Setiausaha MBPP, Ir. Ang Aing Thye berkata, pihaknya pertimbang untuk bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya langkah menyenaraihitamkan pesalah trafik berwajib boleh dilaksanakan secara komprehensif membabitkan kedua-dua pihak.

“Oleh kerana Pulau Pinang kini diberi status bandar raya, kami (MBPP) telah mengambil inisiatif untuk b e r u n d i n g d e n g a n J P J b a g i menyenaraihitamkan para pesalah trafik,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar MBPP).

Tambah Aing Thye , syor menyenaraihitamkan pesalah trafik tegar wajar dipertimbang memandangkan MBPP sebelum ini acapkali digambarkan tidak serius dalam melaksanakan polisi parkir berkupon.

Sebelum itu, Aing Thye turut memberi penjelasan mengenai laporan berita beberapa akhbar harian berhubung dakwaan pihak Perkhidmatan Alam Indah Sdn. Bhd. mengalami kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan penguatkuasaan MBPP ke atas salah guna parkir berwajib.

“Kami (MBPP) mempunyai 60 pegawai penguatkuasa dan saman parkir (mereka) yang tidak meletakkan kupon bukannya isu di sini.

“Adalah tidak benar dakwaan kononnya bahagian penguatkuasaan lemah sehingga syarikat pengendali parkir, Perkhidmatan Alam Indah Sdn. Bhd. mengalami kerugian,” jelas beliau.

Aing Thye memberitahu, kira-kira 7,530 pesalah trafik dikenalpasti mempunyai lebih 10 saman yang masih belum dibayar secara tegar.

“Difahamkan, sebanyak 435,520 saman parkir dikeluarkan pada tahun 2014 dan seramai 3,500 pesalah trafik telahpun dirujuk ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.

“Manakala, sehingga bulan September tahun ini pula, direkodkan, 407,784 saman lain dikeluarkan, dengan 3,568 pesalah trafik turut diheret ke mahkamah,’’ ujarnya.