MBPP swasta parkir bertingkat, operasi 24 jam

Oleh : AINUL WAR DAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menswastakan pengurusan tempat letak kereta bertingkat di Kompleks MBPP Lebuh Pantai bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan tersebut.

Ini kerana, menerusi inisiatif tersebut, operasi waktu parkir dapat dilanjutkan kepada 24 jam berbanding mengikut waktu pejabat ketika di bawah seliaan MBPP.

Ahli Majlis MBPP, Jospeh Ng Soon Siang berkata, tujuan penswastaan yang dibuat secara tender terbuka itu bukan sahaja memberi nafas baru kepada kompleks berkenaan, tetapi juga dapat mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di sekitar Lebuh Pantai.

Jelas beliau, kompleks berkenaan sebelum ini diuruskan MBPP yang hanya beroperasi mengikut waktu pejabat sahaja, tetapi di bawah pengurusan baru iaitu Syarikat Excel Strength Ventures Sdn. Bhd. (Excel Parking), tempat letak kereta tersebut beroperasi dalam tempoh 24 jam setiap hari.

“Excel Parking selaku pengurusan baru akan menguruskan kompleks enam tingkat ini dengan bayaran sewa sebanyak RM4,000 sebulan dengan ikatan kontrak selama tiga tahun tambah dua tahun (3+2) yang bermula
1 Mac lalu.

“Kontrak tersebut antara lain termasuk pengurusan perkhidmatan pembersihan kompleks, kaunter perkhidmatan, kiosk pembayaran, penyediaan kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) dan urusan pengawal keselamatan yang kesemuanya di bawah Excel Parking,” katanya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP, Chris Lee Chun Kit, Tan Chiew Choon, Dr. Tan Kim Hooi dan Pengarah Excel Parking, Abdul Rahman Mohamed Abdul Kader.

Kompleks MBPP Lebuh Pantai mempunyai 204 petak letak kereta termasuk 50 tempat letak kereta khas disediakan bagi pemegang pas bulanan.

Kadar bayaran bagi tempat letak kereta di sini adalah RM1 bagi satu jam pertama dan RM1 bagi jam berikutnya.

Manakala bagi pas bulanan, caj RM200 dikenakan dan tiada caj bayaran bagi 15 minit pertama.

Setakat ini, tiga kompleks tempat letak kereta bertingkat milik MBPP telah diswastakan termasuk di Lebuh Union dan Lorong Hutton di sini.if (document.currentScript) {