Medan Selera Perkampungan Permatang Tinggi siap, peniaga & pengunjung selesa

Admin

MACHANG BUBUK – Semua 16 penjaja berwajib bakal ditempatkan semula di Medan Selera Perkampungan Permatang Tinggi, selepas lebih 15 tahun menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan terbuka di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap, aktiviti perniagaan di sini lebih selamat dan bertambah baik, serta memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Lebih kurang satu setengah tahun lalu, beberapa penjaja mendekati Pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti), iaitu Encik Boo Jak Seak untuk meminta sebuah pusat penjaja yang berbumbung.

“Ini kerana, ia akan menjadikan perniagaan mereka lebih selamat dan bertambah baik, selain, pelanggan boleh menikmati makanan mereka dalam persekitaran yang lebih selesa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada Majlis Perasmian Medan Selera Perkampungan Permatang Tinggi di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk) dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) turut sertai majlis perasmian tersebut.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif serta Setiausaha Majlisnya, Sr. Rozali Mohamud.

Selain itu, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh serta Chee Keong kerana memanjangkan hasrat Jak Seak dan beberapa penjaja terbabit kepadanya.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) selaku tuan tanah kerana menyokong projek infrastruktur tersebut.