Medik Bergerak, harap pupuk kesedaran penjagaan kesihatan

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BERAPIT – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berharap program pemeriksaan kesihatan percuma anjurannya mampu mendidik penduduk setempat berhubung peri pentingnya penjagaan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Menurutnya, menerusi beberapa kajian sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa mendapati bahawa tahap kesedaran penduduk terhadap penjagaan kesihatan masih rendah.

“Oleh itu, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini, saya adakan sekali lagi Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma melalui Medik Bergerak, bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan menjalani pemeriksaan percuma.

“Selain itu, khidmat nasihat kesihatan turut disampaikan kepada penduduk yang mengambil bahagian supaya mereka peka adalah perlu melakukan saringan kesihatan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun,” ujarnya pada penganjuran program Medik Bergerak dekat Masjid Tok Lebai Hasim di sini baru-baru ini.

Difahamkan dalam tempoh dua jam Medik Bergerak beroperasi, kira-kira 150 penduduk selesai menjalani saringan kesihatan percuma.

“Sama seperti sebelum ini, kira-kira 250 hingga 300 penduduk sekitar akan hadir dan menjalani saringan pemeriksaan kesihatan percuma di sini.

“Terdapat juga penduduk yang datang untuk mendapatkan pemeriksaan ulangan selepas tempoh tiga bulan daripada tarikh penganjuran sebelum ini di kawasan ini,” jelasnya.

Serentak itu, turut diadakan adalah pendaftaran program kebajikan Kerajaan Negeri, i- Sejahtera.