Memartabat institusi pendidikan Islam Pulau Pinang – Ustaz Rosli Othman

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

SEJAK Kerajaan Negeri berpindah tangan pada tahun 2008, agenda memartabatkan Islam dan umat terus dipacu di Pulau Pinang.

Pelbagai usaha dilaksanakan, antaranya peruntukan pembangunan hal ehwal agama Islam sehingga 2016 adalah kira-kira RM457.05 juta.

Kerajaan Negeri terdahulu sebelum 2008 dalam tempoh 1999 hingga 2007 direkodkan memberi peruntukan berwajib sejumlah RM249.09 juta sahaja.

Itu, tidak termasuk peruntukan pembangunan sekolahsekolah persendirian Islam dilaksanakan Kerajaan Negeri hari ini, sejumlah RM57.64 juta bagi tempoh 2008 hingga 2016 berbanding RM20.11 juta yang direkodkan dalam tempoh tahun 1999 hingga 2007 sebelum itu.

Tiap-tiap tahun, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang turut memberi sumbangan pendidikan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), Tadika Islam (TADIS), ‘Sekolah Pondok’, Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA), Huffaz, Pegawai Masjid dan banyak lagi.

Sekolah Agama Bercambah Di Pulau Pinang

Menurut Ustaz Rosli Othman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan di Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP), percambahan begitu banyak sekolah agama swasta di negeri ini merupakan salah satu faktor peruntukan berwajib yang lebih diperlukan demi memartabatkan institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang.

“Bayangkan ada 361 buah sekolah (SABK dan SAR) nak diuruskan dengan peruntukan daripada sumber dana Majlis (Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan Zakat (Penang) serta peruntukan daripada Kerajaan.

“Maka ada cabarannya, pertama, peruntukan untuk melengkapkan sekolah, dan kedua adalah pertumbuhan sekolah di Pulau Pinang agak bercambah.

“Banyak sekolah agama dibina atas nama wakaf dan tiada rekod wakaf pun di Majlis Agama (MAINPP), menyebabkan kita sukar mengawal mutu pembangunan dan akademik sekolah-sekolah terbabit.

“Contohnya, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis (Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) mereka mengutip dana wakaf untuk membina sekolah tapi nama tanah dan bangunan itu atas nama sendiri.

“Apabila kita semak dengan sekolah, tanah itu tidak didaftarkan atas nama sekolah tapi atas nama individu tertentu,” katanya.

Menurut Ustaz Rosli, MAINPP, JAIPP hatta Kerajaan Negeri seakan dalam persimpangan, bimbang dianggap anti-Islam dan anti-institusi pendidikan Islam jika mengambil langkah penguatkuasaan terhadap pihak tententu yang menyalahguna maksud ‘wakaf’ untuk membina sekolah persendirian mereka.

Bagaimanapun tambahnya, JAIPP khususnya Bahagian Pendidikan tidak pernah putus asa dalam memartabatkan institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang.

“Di bawah ana (saya), Bahagian Pendidikan ada unit-unit iaitu Unit Pentadbiran, Unit Pengurusan, Unit Akademik.

“Di bawah Unit Pengurusan ini lah, kita salur bantuan yang diperlukan oleh sekolah, kita salurkan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan.

“Jabatan, khususnya di peringkat Bahagian Pendidikan JAIPP, sangat besar hasrat kita, berdasarkan motto ‘Ke Arah Pendidikan Yang Berkualiti dan Berkat’,” ujarnya.

Globalisasi

Ustaz Rosli menyatakan bahawa ada tiga cabaran utama dalam memartabatkan institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang. “Pertama, Kerajaan Negeri khususnya JAIPP harus menyedari mengenai perkembangan arus globalisasi.

“Sektor pendirian Islam di Pulau Pinang pun mendepani zaman jua yang senantiasa berubah-ubah, iaitu arus globalisasi.

“Tidak dapat dinafikan selain fokus kita (Bahagian Pendidikan JAIPP), dalam pendidikan, kita (JAIPP) ada sasaran kita dan waqi’ (semasa).

“Faktor globalisasi yang turut memberi cabaran kepada bidang pendidikan ini contohnya faktor penguasaan bahasa.

“Tidak dapat dinafikan, selain fokus kita dalam penguasaan bahasa Arab, adalah penguasaan bahasa Inggeris.

“Pelajar agama di SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dan SAR (Sekolah Agama Rakyat) lemah bahasa Inggeris, tetapi apabila ada peluang masuk ke universiti (Awam) dan buat pembentangan dalam bahasa Inggeris, boleh (menguasai pertuturan bahasa Inggeris),” katanya.

Pertembungan Generasi

Cabaran kedua, jelas Ustaz Rosli, adalah corak pengajian aliran tradisionalis dan murid daripada generasi Y.

“Sesetengah guru agama dalam aliran tradisionalis masih mahu mengekalkan gaya pengajian ala pondok, sedangkan yang mereka urus di SABK atau SAR adalah generasi Y, dengan gajet, terdedah dengan lambakan maklumat dan sebagainya.

“Mereka begitu terdedah dengan arus globalisasi dan maklumat, kalau guru-guru agama tidak cepat menyesuaikan diri dengan arus globalisasi ini, memang sukar untuk mereka menguruskan murid-murid dari Generasi Y ini,” ujarnya.

Sistem Nilai Cabaran ketiga, Ustaz Rosli memberitahu, adalah perubahan sistem nilai.

“Sistem nilai dalam masyarakat berubah. Dahulu, guru merotan murid atas tujuan didikan, akan disokong oleh waris dan masyarakat, tapi sekarang adalah sebaliknya.

“Maka, guru-guru SABK dan SAR mesti mencari pendekatan yang baru dalam mendidik, asalkan sesuai dengan sistem nilai yang berubah-ubah belakangan ini,’’ jelasnya. Cabaran keempat dan terakhir, ulas beliau adalah perubahan dasar Kerajaan.

“Contohnya, dulu Wawasan 2020 dan sekarang TN50 (Transformasi Nasional 2050).

“Di Pulau Pinang, ada usaha merealisasikan Islam Rahmat Ke Seluruh Alam, maka semua dasar ini harus sampai dan dihayati oleh guru-guru dan pentadbir sekolah agama rakyat,” katanya.

Cabaran lain Ustaz Rosli menyatakan bahawa ketika ini, Bahagian Pendidikan JAIPP turut menghadapi cabaran lain, seperti urusan menghantar pelajar-pelajar lepas sekolah agama untuk melanjutkan pengajian tinggi di Timur Tengah.

“Kos pengajian dalam bidang agama ke luar negara memang tinggi, dengan mengambil kira nilai Ringgit Malaysia.

“Sepatutnya, mungkin perlu ada lebih banyak lagi program seperti tiga tahun belajar di negeri Pulau Pinang dan tahun akhir di negara Mesir atau Jordan.

“Cuma, untuk belajar betul-betul bahasa Arab ini, memang perlu persekitaran yang sebenar di negara Arab, tidak kiralah Mesir atau Jordan atau mana-mana negara Arab lain, baru boleh,” katanya.

Harapan

Ustaz Rosli menyatakan bahawa beliau begitu optimis dengan masa depan institusi pendidikan Islam, jika terus menerima sokongan daripada semua pihak, khususnya daripada aspek penambahan peruntukan pembangunan berwajib sehingga RM4 juta setahun.

“Untuk melahirkan pelajar berkualiti, mestilah sekolah dan guru-guru berkualiti.

“Bercakap mengenai guru berkualiti ini, pertama mesti dilihat kepada pencapaian akademik, dan kedua tentulah kepakaran profesionalisme mereka seperti ilmu keguruan.

“Semua ini mesti diprogramkan, mesti ada dana yang lebih untuk tujuan pengurusan dan pembangunan sekolah.

“Seperkara lagi, suka juga dinasihatkan bahawa semua harta wakaf mestilah didaftarkan di bawah Majlis Agama dan diperincikan sekatan kepentingan untuk wakaf sekolah.

“Dan ini juga satu lagi cabaran, bukan untuk menyekat percambahan sekolah agama di Pulau Pinang, tapi untuk tujuan meningkatkan mutu perguruan dan akademik pelajar-pelajar,” ujarnya.