Mendekati kehidupan rama-rama di Entopia

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

KELIBAT beberapa ekor rama-rama berbentuk ‘unik’ merangsang minat penulis untuk meneroka Entopia atau dahulunya dikenali sebagai Taman Rama-rama Pulau Pinang.

Terletak di Teluk Bahang. Entopia yang telah dinaik taraf dan dibuka kepada umum Mei lalu mampu memberikan pengalaman menarik kepada setiap pengunjung yang bertandang.

Dengan suasana persekitaran yang nyaman menghijau dan bunyi deruan air terjun buatan, pengembaraan penulis dipandu oleh Ketua Jualan & Marcom Butterfly House (Pg) Sdn. Bhd., May Ang.

Jujurnya, sebaik melangkah ke pintu gerbang taman ini, penulis agak terpegun melihat beribu-ribu kawanan rama-rama berwarna-warni, pelbagai saiz dan bentuk terbang melata bebas hinggap di rantingranting pokok serta kelopak bunga.

Terletak di kawasan seluas 100,000 kaki persegi (kp), Entopia mampu menempatkan lebih 15,000 jenis rama-rama daripada kira-kira 100 spesies berlainan.

Antara spesies rama-rama yang menjadi tumpuan ialah Great Mormon, Magpie Crow dan Clipper Butterfly.

Namun, nasib penulis tak begitu baik! Kelibat rama-rama kebangsaan Malaysia yang dikenali sebagai Rajah Brooke’s Birdwing langsung tak kelihatan.

Lazimnya Rajah Brooke’s hanya mudah didapati di kawasan beriklim sejuk dan lembap seperti di Taman Rama-rama Cameron Highlands.

Penulis difahamkan, rama-rama Malaysia ini sukar ‘dibiak’ di Pulau Pinang ekoran cuaca panas, jarang sekali ia boleh ditemui di sini.

Ia mampu membesar di antara 15 hingga 17 sentimeter (cm) dan boleh dibezakan mengikut jantina berdasarkan warna pada sayapnya.

Bagi penggemar serangga cantik ini, anda bukan sahaja dapat ‘bermesra’ dengan pelbagai jenis rama-rama yang jarang ditemui di sini, malah jika bernasib baik seperti penulis, anda dapat merasai pengalaman melepaskan ramarama ‘vita nova’.

Vita nova adalah rama-rama yang telah bertukar dewasa dan sesuai untuk dilepaskan selepas melalui peringkat telur, larva dan pupa.

Teringat dengan bait-bait lagu di zaman kanak-kanak penulis ‘rama-rama terbang melata, sungguh cantik aneka warna, hisap madu di pohon bunga, tapi sayangnya hidup tak lama’.

Begitulah perumpamaan jangka hayat rama-rama.

Walaupun cantik, tetapi ia mempunyai jangka hayat yang amat singkat.

Sebenarnya rama-rama dewasa mampu hidup selama seminggu ataupun hampir setahun bergantung kepada spesiesnya.

Setelah puas melihat gelagat rama-rama berterbangan di sekeliling taman yang dipenuhi bunga-bungaan, penulis dibawa ke satu sudut yang menempatkan pelbagai jenis binatang seperti iguana, kura-kura, mandarin duck, whistling duck serta serangga iaitu leaf insect dan stick insect.

Sepanjang melawati taman ini, penulis tertarik dengan maskot-maskot rasmi comel yang diletakkan di kaki lima taman.

Ia dikenali sebagai Orni The Happy Explorer, Juro The Litlle Genius, Dagon The Cheeky Prankster, Toro The Nature Policeman dan Tacca The Caring Big Sister.

Taman ini adalah mesra orang kurang upaya (OKU) dan turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti surau, bilik penyusuan, kedai cendaramata dan bilik aktiviti pembelajaran untuk kumpulan pelajar yang menyertai Program Pembelajaran Entopia.

Malah, setelah penat berjalan, penulis berkesempatan berkunjung ke Restoran Tapestree yang terletak bersebelahan air terjun dan kolam buatan.

Bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai rama-rama dan serangga-serangga lain, Entopia turut mewujudkan sebuah seksyen tertutup untuk memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat mengenai metamorfosis rama-rama dan serangga-serangga lain.

Di setiap bahagian pameran, maklumat ringkas disediakan berserta gambarajah.

Bangunan Entopia dengan rekabentuk sayap rama-rama ini dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Pengunjung dikenakan tiket berharga RM49 untuk dewasa, RM29 bagi kanakkanak berusia 4 hingga 12 tahun dan RM29 untuk warga emas.