Mengapa Pulau Pinang diketepikan dalam mesyuarat bersama KPKT, soal Jagdeep

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar yang dikatakan telah ‘meminggirkan’ Pulau Pinang dalam mesyuarat bersama-sama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri-negeri pada 13 Mac lalu.

Katanya, Noh seharusnya sedia maklum bahawa masalah perumahan merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius dan harus dibincangkan di peringkat lebih tinggi serta memerlukan penglibatan semua negeri.

“Saya mengetahui adanya mesyuarat ini melalui gambar yang dinaikkan di laman Twitter KPKT tetapi malangnya saya tidak dijemput.

“Saya juga telah mengesahkan perkara ini dengan pejabat Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow namun mereka juga tidak menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

“Amat mengecewakan apabila selepas pelbagai usaha telah kita (Kerajaan Negeri) lakukan termasuk menghantar berpuluh-puluh surat peringatan untuk menyelesaikan isu perumahan di negeri ini, tetapi kita tidak diundang untuk bersama-sama dalam mesyuarat itu,” tegasnya pada sidang media di sini 16 Mac lalu.

Menurut Jagdeep, sebelum Noh dilantik sebagai menteri, sudah ada Jawatankuasa Kerja Pemantauan Pelaksanaan Keputusan Majlis Perumahan Negara diketuai Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Sadique yang sering mengadakan mesyuarat bersama-sama Exco Perumahan dari semua negeri termasuk Pulau Pinang.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Halimah kerana telah tiga kali menjemput saya untuk mendengar pendapat dan pandangan berkaitan pelbagai aspek mengenai isu perumahan di negeri ini.

“Malah, dalam mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang (Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) dan saya sendiri pada Mac tahun lepas, ada sedikit perkembangan positif mengenai pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) di negeri ini.

“Namun selepas Noh dilantik sebagai Menteri, tiada sebarang mesyuarat dipanggil selepas itu,” jelasnya. Jagdeep menyatakan bahawa Noh sepatutnya bersikap lebih profesional dengan menjemput Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyertai mesyuarat berkenaan bagi membincangkan penyelesaian berkaitan isu perumahan yang masih tertangguh.

Antaranya, kata Jagdeep, isu perumahan PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) yang masih belum dibina walaupun seunit di Pulau Pinang; Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M); Projek Perumahan Rakyat (PPR); penolakan pinjaman perumahan yang sangat tinggi dan sebagainya.

“Masih banyak isu yang memerlukan penjelasan daripada agensi-agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan perumahan.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) ada banyak cadangan yang mahu dikemukakan, tapi jika sebelah pihak sahaja yang berusaha masalah ini tidak akan selesai.

“Oleh itu, beliau (Noh) harus mengetepikan sentimen politik dan mengadakan mesyuarat sekali lagi dengan memanggil Exco-Exco dari semua negeri kerana masalah perumahan adalah masalah seluruh rakyat di negara ini,” ujarnya.