Menyusu bayi serentak selama seminit, pecah rekod MBOR

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD PULAU TIKUS – Seramai 820 ibu di Pulau Pinang, Petaling Jaya, Sarawak dan Johor Bahru yang menyusukan bayi selama seminit secara serentak menjadi rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR), berbanding rekod terdahulu pada tahun 2013 membabitkan 432 ibu.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Betty Chew Gek Cheng berkata, setiap ibu yang menyusukan bayi sepatutnya berasa bangga serta tidak perlu lagi bimbang dengan tanggapan serong segelintir masyarakat.

Isteri kepada Ketua Menteri memberi dorongan berkaitan bersempena penganjuran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di sini baru-baru ini.

“Saya ada empat anak dan semuanya saya beri susu ibu…kita (wanita) perlu mendapat sokongan dan dorongan daripada suami dalam menghargai pengorbanan isteri kepada anak-anak.

“Tahniah dan syabas kepada anda semua, ini kerana di Pulau Pinang sahaja, seramai 150 peserta yang mengambil bahagian.

“Bayi adalah anugerah Tuhan dan mereka (bayi) memerlukan ibu sepenuhnya untuk memperoleh zat,” ucap beliau.

Bertemakan “Breastfeeding: A key to Sustainable Development”, Gek Cheng berharap hasrat meningkatkan kesedaran ibu menyusu bayi turut disambut oleh masyarakat, khususnya golongan suami.

Pada kesempatan tersebut, Gek Cheng turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Alliance For Breastfeeding Action (WABA) dan Mother-to-Mother-Peer-Support (MMPS) yang bertungkus-lumus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri demi menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Negeri Mesra Penyusuan’.

Sebelum itu, Pengarah WABA, Datuk Dr. Anwar Faizal melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas usaha mewujudkan bilik laktasi di pejabat-pejabat kerajaan, pusat membeli-belah, kafe dan restoran di Pulau Pinang.

}