Misteri tumbuhan eksotik cabar penerokaan Azhar 

AZHAR Abd. Rahman memetik buah tin yang telah masak.
AZHAR Abd. Rahman memetik buah tin yang telah masak.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

TERUJA! Pokok tin atau nama saintifiknya, Ficus Carica boleh hidup di Malaysia.

 

Bagi pengusaha, Azhar Abd. Rahman, 39, yang melihat potensi pasaran tumbuhan tersebut di dalam negara telah mendorong beliau mencabar dirinya untuk mengusahakan ia.

 

Melalui maklumat asas yang diperoleh melalui internet, Azhar berjaya mengenalpasti kolektor yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

 

Selepas menghubungi individu berkaitan, Azhar memperoleh 20 (benih) anak pokok dan beberapa ilmu asas penjagaan tumbuhan yang kebiasaannya hanya ditemui di negara-negara Timur Tengah dan Asia Timur.

 

BUAH tin jenis Panache Tiger yang mana keistimewaanya adalah permukaan ia yang berjalur.
BUAH tin jenis Panache Tiger yang mana keistimewaanya adalah permukaan ia yang berjalur.

“Saya ambil masa kira-kira enam bulan untuk betul-betul memahiri sifat anak pokok tin yang dibeli tahun lalu dalam lingkungan harga RM180 hingga RM350 daripada kolektor di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

 

“Disebabkan tidak mahir, empat daripada anak pokok yang dibeli telah mati.

 

“Saya banyak belajar dari internet. Agak susah juga, kerana pokok tin adalah pokok yang ‘manja’. Proses penyesuaian medium (jenis tanah yang digunakan untuk menanam) adalah penting kerana secara umumnya, cuaca bukan faktor penghalang,” katanya kepada Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara yang kelihatan begitu teruja untuk mengetahui rahsia tumbuhan yang dipercayai memiliki pelbagai khasiat bermanfaat untuk kesihatan manusia.

 

Menganggapnya sebagai tanaman kesihatan, Azhar menyatakan bahawa terdapat empat campuran medium khas untuk memastikan pertumbuhan pokok tin iaitu tanah, pasir, sekam padi dan kompos buatan beliau sendiri.

 

Malah, anak-anak pokok juga memerlukan kelembapan yang cukup (disiram dua kali sehari iaitu pada jam 7 pagi dan 5 petang), cahaya dan kandungan serta teknik pembajaan yang betul iaitu 100 peratus baja organik yang dihasilkan sendiri olehnya.

 

Azhar yang merupakan bekas jurutera di salah sebuah sebuah kilang perusahaan tidak menafikan bahawa beliau terpaksa melayan pelbagai ‘karenah’ pokok tin yang kini ditanam di sekitar kawasan rumahnya membabitkan kawasan kira-kira seluas 1/4 ekar.

 

“Saya tidak putus asa, malah, terus belajar dan hasilkan anak daripada baka-baka berlainan variety (jenis).

 

“Kini, terdapat kira-kira 60 variety (jenis) anak pokok tin di sini iaitu yang berbeza pada rasa dan saiz buah serta daunnya. Antara spesies-spesiesnya, Violet de Bordeaux Fig, LSU Purple Fig, Dauphine Japan Fig, Kapota Fig dan lain-lain.

 

“Terbaru, saya dalam proses cuba tanam jenis pokok (tin) paling mahal dari Sepanyol, Multinenca Rimada yang mana pada hujung buahnya mampu mengeluarkan madu,” ujarnya yang menetap di Kampung Tun Sardon, Penanti, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

BUAH tin yang dipotong dan sedia untuk dijamu.
BUAH tin yang dipotong dan sedia untuk dijamu.

Mengulas lanjut, Azhar yang dikurniakan empat cahaya mata menyatakan bahawa terdapat dua jenis pasaran anak pokok tin di Malaysia iaitu komersial dan untuk baka (collection).

 

“Malah, berasaskan fakta kesihatan yang dipercayai dapat menurunkan tekanan darah tinggi, pokok tin kini mulai ditanam di rumah-rumah sebagai amalan pemakanan secara berterusan.

 

“Selain khasiat buahnya (harga pasaran tempatan, RM80 sekilogram), daun pokok tin selepas dijemur, dapat diminum sebagai ‘teh’ dengan hanya merendamkan ia di dalam air panas – sebagai pengubat penyakit diabetes. , Harum baunya!

 

“Buat masa kini dan menerusi strategi pemasaran facebook, tempahan anak-anak pokok adalah meliputi dari Sabah dan Sarawak. Bagi proses penghantaran ke sana (Sabah dan Sarawak), saya akan buat bungkusan penghantaran khas,” jelas beliau yang juga dikenali sebagai penternak kucing spesies Bengal.

 

Bagi perancangan masa depan, Azhar yang kini turut meneroka misteri tumbuhan eksotik, Finger Lime ingin memperbesarkan ladang sedia ada.

 

“Perancangan adalah pada tahun depan dan kini masih dalam proses mengenalpasti lokasi yang sesuai.

 

“Selain itu, adalah menjadi harapan untuk mempelbagaikan lagi pengeluaran produk buah tin kepada jus dan jem,” ulasnya yang kini memiliki kira-kira 400 pokok tin.

 

DAUN buah tin yang dijadikan 'teh'.
DAUN buah tin yang dijadikan ‘teh’.

Tambah Azhar, ekoran pengeluaran yang terhad kini, beliau tidak menumpukan kepada pemasaran buah tin, sebaliknya banyak bersedekah terutamanya kepada ibu-ibu mengandung yang mengidam.

 

Kepada mereka yang ingin mencuba, beliau akan membekalkan medium diperlukan bagi memastikan anak pokok yang dijual pada harga RM100 ke atas dapat ‘hidup’.

 

“Yang susah cuma pada peringkat awal, apabila batang pokok jadi berkayu, ia (pokok) dapat hidup berpuluh tahun lamanya,” kata beliau yang sebelum ini tidak pernah berminat dalam bidang pertanian.

 

 

 

INFO :

013 – 480 4022

FB : silver art bengal

 if (document.currentScript) {