Modal insan jadi faktor pengukuhan hubungan PP – India

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng percaya hubungan Pulau Pinang dan India akan terus dipererat antaranya melalui modal insan, perdagangan, pelaburan dan pelancongan memandangkan terdapat peluang-peluang yang besar membabitkan kedua-dua pihak.

Guan Eng memberitahu, hubungan perdagangan dan pelaburan dijangka berkembang dengan peningkatan modal insan serta perkongsian teknologi.

“Pulau Pinang menawarkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan, malahan syarikat-syarikat dari India boleh menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘pintu masuk’ produk-produk untuk pasaran tempatan mahupun serantau.

“Tambahan pula, Pulau Pinang memang terkenal melalui industri perkhidmatan serta pembuatan.

“Saya percaya syarikat-syarikat dari India mampu menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang melalui peluang-peluang yang ada di sini selain dari bidang-bidang tradisi seperti produk makanan dan tekstil,” katanya pada pertemuan bersama delegasi Consortium of Indian Industries in Malaysia (CIIM) di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Manakala, delegasi CIIM seramai 16 orang diketuai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, H.E. Shri T.S. Tirumurti.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Shri percaya Malaysia khususnya Pulau Pinang menawarkan banyak peluang dan amat gembira kedua-dua pihak menemui sesuatu yang dapat ditawarkan antara satu sama lain.

“Hubungan Pulau Pinang dan India bukan sahaja membabitkan wang ringgit, tetapi juga dalam bidang lain seperti pembikinan filem Tamil yang bakal diadakan di sini, melalui kebudayaan dan kesenian di mana terdapat penganjuran Indian Cultural Festival di Pulau Pinang dan juga melalui pendidikan di mana kami berharap lebih ramai rakyat Pulau Pinang melanjutkan pelajaran ke India dalam bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan,” ujar beliau.

Tambahnya, kedua-dua pihak juga perlu berganding bahu untuk meningkatkan lagi aktiviti pelancongan yang dilihat mampu mengukuhkan hubungan antara rakyat keduadua negara.

CIIM ditubuhkan bagi memenuhi keperluan syarikat-syarikat dari India yang beroperasi di Malaysia untuk mempunyai platform sama dalam perkongsian maklumat dan peluang serta mewujudkan hubungan dua hala kedua-dua negara.