MP gesa BNM pantau operasi syarikat pelaburan mirip skim cepat kaya

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bank Negara Malaysia (BNM) digesa agar lebih memantau operasi syarikat-syarikat pelaburan mirip skim cepat kaya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata demikian dalam sidang media bersama-sama tiga mangsa skim cepat kaya yang enggan dikenali.

“Bank Negara sepatutnya lebih memantau operasi syarikatsyarikat pelaburan ini.

“Tanda tanya saya adalah, adakah syarikat-syarikat yang dalam pemantauan ini sekadar menerima amaran, masih beroperasi secara rasmi ataupun telah diharamkan,” soalnya di sini baru-baru ini.

Chee Keong dalam pada itu turut menggesa polis supaya segera menyiasat, mamandangkan pengadu telahpun membuat aduan polis mengenai syarikat pelaburan yang dianggap menipu mereka.

“Polis mesti mengambil tindakan segera, tidak kiralah di Seberang Perai atau di bahagian pulau, laporan itu dibuat,” jelasnya.

Sebelum itu, salah seorang pengadu menjelaskan mengenai modus operandi firma pelaburan terbabit membabitkan individu bergelar ‘Datuk’, menggunakan pelbagai nama komersial untuk meyakinkan orang awam.

Mangsa turut mengadu bahawa dalang syarikat pelaburan terbabit seakan masih tidak disiasat, walaupun aduan berwajib telahpun dibuat kepada pihak polis sebelum ini.

Dalam salinan aduan polis yang dibekalkan kepada pemberita, didedah, sebanyak RM703,000 duit telahpun diberikan kepada dua individu dalam tempoh 2014 hingga awal tahun 2015.

Namun, mangsa hanya diberikan pelbagai alasan ketika mahu menuntut balik semua wang pelaburan daripada kedua-dua individu terbabit.