MP harap Triathlon Bukit Bendera jadi acara tahunan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Seramai 250 peminat tegar sukan lasak diuji apabila masing-masing perlu melepasi pelbagai halangan pada acara lasak, Trail in Twilight Stars; Let’s Rock The Trails merentasi kawasan berbukit Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Acara anjuran bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), My Triathlon Shop Pulau Pinang dan Running Guild itu adalah yang seumpamanya julung kali diadakan di negeri ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari ketika ditemui sejurus acara pelepasan peserta berkata, beliau amat teruja dengan sambutan yang diberikan.

“Walaupun dengan keadaan cuaca yang kerap hujan, sambutan diberikan amat memberangsangkan.

“Pastinya, ia merupakan petanda baik memandangkan sukan ini (triathlon) semakin popular di negeri ini, terutama dalam kalangan penggemar sukan lasak yang gemar menguji ketahanan fizikal dan mental masing-masing.

“Acara ini sudah tentunya mencabar kerana peserta perlu melalui halangan berbukit yang bukan sahaja berbatu, tetapi juga laluan berlumpur dan beberapa halangan semulajadi,” katanya pada majlis berkaitan.

Selain itu, Zairil turut berharap agar acara tersebut dapat dijadikan acara tahunan di Bukit Bendera dalam usaha mempromosikan pusat pelancongan tersebut sebagai sebahagian lokasi aktiviti sukan lasak di Pulau Pinang.

“Jika kita lihat, bukan sahaja peserta dari Pulau Pinang mengambil bahagian, malah, saya difahamkan ada dalam kalangan peserta yang datang dari Singapura, Johor, Kuala Lumpur dan Kedah,” tambah beliau.

Bagi Pengerusi Penganjur, Karen Geh memberitahu, pihaknya tidak menjangkakan lebih 250 peserta menyertai acara lasak 12 jam bermula jam 6 petang hingga 6 pagi keesokan harinya.

“Hanya mereka yang memiliki hati kental dan semangat kuat mampu menghabiskan 70 kilometer acara merentasi Bukit Bendera ini,” katanya yang turut serta mengambil bahagian.

Acara Trail in Twilight Stars; Let’s Rock The Trails terbahagi kepada empat Kategori iaitu Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka bagi mereka berusia 18 tahun dan ke atas; Kategori Veteran, 40 tahun dan ke atas, lelaki dan wanita.