MP puji MBPP arah henti kerja pugar tanah bukit serta-merta

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPAS – Pemugaran tanah bukit secara besar-besaran untuk tujuan pertanian di Bukit Changkat dekat Sungai Ara dihentikan serta-merta selepas satu Notis Henti Kerja dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kepada pemilik tanah persendirian terbabit.

Sambil memuji MBPP, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, langkah penguatkuasaan tersebut sekaligus kembali memberi jaminan keselamatan kepada komuniti setempat di sini.

“Dalam hal ini, kita tidak mahu salahkan sesiapa kerana ia merangkumi pelbagai aspek.

“Apa yang penting, kini kerja-kerja di sini telah diarahkan untuk berhenti,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan tersebut baru-baru ini.

Tze Tzin memberitahu, pemugaran tanah atas tujuan pertanian sekalipun sebenarnya tidak boleh secara sesuka hati, berdasarkan Akta Pemuliharaan Tanah 1960.

Justeru, beliau menasihatkan kepada para pengusaha kebun terbabit supaya terlebih dahulu mendapatkan kebenaran
berwajib daripada MBPP serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Pemilik mana-mana tanah dinasihatkan untuk merujuk Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTG) atau MBPP sekiranya berniat memajukan tanah seperti ini yang berisiko,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tze Tzin turut mengesyorkan PBT serta PTG supaya saling bekerjasama dengan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta pemimpin Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dalam memantau kawasan masing-masing supaya tiada lagi aktiviti memugar tanah secara ‘haram’ di negeri ini.

} else {