MPPP digesa tangani isu papan iklan haram

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dr. Lim Mah Hui menggesa pihak berkenaan selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih tegas dalam menangani masalah papan iklan haram yang dipercayai semakin membimbangkan kini.

Gesaan tersebut disuarakannya semasa ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung ekoran insiden papan iklan tumbang ketika hujan ribut baru-baru ini hingga memusnahkan harta awam di Sungai Nibong di sini beberapa minggu lalu.

Ekoran kejadian tersebut, Mah Hui berkata, Majlis harus lebih agresif membersihkan semua papan iklan haram, poster dan sepanduk haram di kawasan pulau yang dilihat semakin berleluasa kini sehingga menjejaskan pemandangan sebagai sebuah bandar warisan yang hijau dan bersih.

“Majlis bukan sahaja perlu membersihkan semua papan iklan, poster dan sepanduk haram ini, tetapi, mendakwa pesalah mengikut undang-undang diperuntukkan untuk langkah pencegahan pada masa hadapan.

“Satu garis panduan baru turut perlu dikaji semula bagi mengawal bilangan dan saiz papan iklan tersebut,” ujarnya semasa sesi ucapan penangguhan pada MBM MPPP baru-baru ini di sini.

Menurut Mah Hui, kebanyakan bandar-bandar maju seperti Singapura dan Hong Kong telah lama menghadkan pengiklanan awam.

“Difahamkan, MPPP telah mengeluarkan sejumlah 254 papan iklan haram, tetapi, masih banyak yang berbaki untuk dikeluarkan.

“Yuran daripada aktiviti pelesenan yang dikumpulkan Majlis adalah berjumlah kira-kira RM100,000 setahun, namun, bagi tahun hadapan (2015), Majlis memperuntukkan RM500,000 untuk kos menurunkan poster haram dan papan iklan ini sahaja,” tegas beliau.