MPPP jalankan kaji selidik isu tukang masak asing

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Satu kaji selidik sedang dijalankan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi mendapatkan pandangan orang awam mengenai isu penyediaan makanan tempatan oleh tukang masak warga asing di sini bermula 25 Julai hingga 31 Ogos ini.

Pengumuman tersebut dibuat Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika turun padang meninjau proses kaji selidik yang dijalankan kakitangan MPPP di sekitar Pasar Chowrasta baru-baru ini di sini.

Katanya, makanan tempatan (Pulau Pinang) telah dikenali di peringkat antarabangsa dan merupakan salah satu ikon dalam industri pelancongan negeri.

“Semua sedia maklum, makanan tempatan seperti asam laksa telah mendapat pengiktirafan dunia apabila dipilih pada kedudukan ke- tujuh dalam CNN’s World 50 Most Delicious Food.

“Selain itu, Time Magazine memberikan pengiktirafan Best Street Food In Asia dan One of Asia’s Greatest Food Cities oleh CNNGo.Com. “Jesteru, kita perlu menjamin reputasi ini berkekalan dan dipertingkatkan lagi.

Pihak Majlis sedang berusaha mencari idea bagi meningkatkan prestasi dan jenama negeri Pulau Pinang melalui industri makanan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye , Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Kesihatan Awam dan Pelesenan MPPP, Dr. R. Judy Shoba dan Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong.

Kon Yeow memberitahu, seramai kira-kira 50 kakitangan MPPP akan menjalankan kajian lapangan pelaksanaan kaji selidik tersebut di lokasi-lokasi strategik sekitar Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

“Dalam tempoh tersebut juga, orang awam boleh turut serta menyalurkan pandangan melalui portal rasmi MPPP iaitu www. mppp.gov.my,’’ jelas beliau.