MPPP lulus tanah untuk dewan serbaguna

Admin

Oleh:NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) meluluskan sebidang tanah berkeluasan 7,319 kaki persegi untuk disewakan kepada Pejabat Daerah & Tanah, Daerah Barat Daya bagi membina sebuah dewan serbaguna di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis, Tan Hun Wooi pada Mesyuarat Biasa Majlis yang berlangsung baru-baru ini berkata, pihak Majlis tidak akan bertanggungjawab di atas pengurusan dewan tersebut, sebaliknya hanya menyewakannya sahaja dengan jumlah RM1,200 setahun (bersamaan RM100 sebulan).

“Tanah tersebut diluluskan untuk disewa dengan syarat kegunaan tanah hanya untuk membina Dewan Komuniti dan tidak boleh digunakan bagi mendirikan apa-apa bangunan kekal yang lain tanpa mendapat kebenaran daripada pihak Majlis.

“Sekiranya didapati keadaan demikian berlaku, MPPP berhak untuk menarik balik kelulusan bagi menggunakan tanah Majlis ini dengan tidak dibayar sebarang ganti rugi,” ujarnya pada pengesahan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan yang berlangsung di Dewan Bandaran baru-baru ini di sini.

Tambah Hun Wooi, pihak Pejabat Daerah & Tanah Barat Daya perlu mengemukakan Pelan Kebenaran Merancang atau Pelan Bangunan kepada pihak Majlis untuk ditandatangani Setiausaha Perbandaran sebagai tuan tanah.

“Ianya perlu dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kelulusan Pihak Berkuasa Negeri diperoleh,” ujarnya.