MPPP perluas penggunaan mesin proses sisa makanan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

JELUTONG – Selepas Pasar Awam Pulau Tikus, Lebuh Campbell dan Batu Lanchang di sini dilengkapi mesin memproses sisa makanan terbuang, kini inisiatif tersebut diperluaskan ke Pasar Awam Jelutong baru-baru ini.

Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Kesihatan Awam dan Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dr. Jodi Shoba Naidu berkata, mesin bernilai RM18,800 tersebut adalah disasarkan untuk memproses sisa terbuang daripada sumber makanan seberat 70 kilogram (kg) hingga 100 kg bagi dijadikan baja berbentuk organik.

“Namun, penggunaannya terhad kepada sisa makanan lembut seperti buah, sayur-sayuran dan daging.

“Sisa yang mempunyai tulang adalah tidak dapat diproses,” katanya pada Majlis Perasmian Penggunaan Mesin Memproses Sisa Makanan di Pasar Awam Jelutong di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong.

Pengoperasian mesin berkenaan adalah dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan MPPP dan para peniaga hanya perlu menghantar sisa-sisa makanan ke kawasan bilik khas berkaitan.

Menurut Ah Teong, dalam masa terdekat, Pasar Awam Farlim dan Pasar Awam Padang Tembak bakal dilengkapi dengan kemudahan mesin tersebut.

“Penggunaan mesin ini juga adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mensasarkan sifar bahan buangan dalam visi menjadi sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,’’ ujar beliau.