MPPP rai 205 pekerja cemerlang & 53 pesara

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU) tidak pernah menghalang Abd. Rahim Hussain, 50, yang cacat anggota tangan untuk turut disenaraikan sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2013 Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini di Dewan Bandaran di sini.

Abd. Rahim yang memulakan tugas sebagai pembantu lif di Flat Taman Free School ketika berusia 35 tahun berkata, beliau amat berterima kasih kepada pihak Majlis (MPPP) kerana sudi memberikannya peluang bekerja.

“Terima kasih kepada MPPP kerana sudi mengambil saya kerja walaupun keadaan fizikal sebegini.Sepanjang bekerja bersama Majlis, semuanya Alhamdullilah tak ada sebarang masalah.

“Rakan sekerja pun semua berikan layanan baik, tak ada diskriminasi atau perbezaan,” ujarnya yang turut menyatakan bahawa anugerah tersebut merupakan pertama kali diterima beliau dan bercadang menggunakan ia sebagai simpanan masa hadapan. Pada majlis sama, seramai 53 kakitangan MPPP yang telah bersara diberikan penghargaan.

Pada masa sama, seramai 205 pegawai dan kakitangan Majlis turut dianugerahkan perkhidmatan cemerlang berikutan prestasi kerja yang cemerlang pada tahun 2012.

Majlis disempurnakan Yang DiPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye, Ahli-ahli Majlis dan Ketua- ketua Jabatan MPPP.

Bagi seorang pesara di Bahagian Penilaian Hartanah MPPP, Harun Ishak, 56, beliau memberitahu bahawa sepanjang hampir 30 tahun berkhidmat bersama MPPP, pelbagai pengalaman dapat ditimbanya, baik pahit mahupun manis.

“Banyak kenangan sepanjang bekerja bersama MPPP. Yang penting, kita kena sabar dengan bermacam-macam dugaan, kena terima dengan redha,” katanya.

Dalam pada itu, Patahiyah berkata, anugerah tersebut merupakan simbol penghargaan kepada pegawai serta kakitangan yang telah menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

“Ini adalah satu pengiktirafan. Saya yakin ia bakal menjadi pemangkin dalam kerjaya kakitangan MPPP serta mendorong pegawai serta kakitangan agar berkhidmat dengan lebih baik dan bersaing secara sihat ke arah peningkatan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

“Malah, anugerah ini juga mampu memberikan galakkan kepada kakitangan Majlis untuk sentiasa menghadapi apa jua cabaran bagi mengukuh serta memartabatkan imej MPPP,” jelas Patahiyah.