MPSP 100% ambil alih pengurusan sisa pepejal – Maimunah

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengumumkan pengambilalihan 100 peratus perkhidmatan pelupusan sampah serta pembersihan am di seluruh Seberang Perai mulai 1 Julai lepas.

Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak 21 lori kompaktor telahpun dibeli untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Majlis dijadualkan menerima 21 lori kompaktor yang baru dibeli ini mengikut jadual secara berperingkat iaitu mulai Julai hingga Disember tahun ini,” ujarnya di Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru- baru ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ke-480 Bil.6/2014 MPSP. Tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim serta Sr. Rozali Mohamud (setiausaha MPSP) turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah menjelaskan, seramai 1,743 orang telahpun diambil sebagai pekerja am kontrak, manakala, 467 lain sedang dalam proses lantikan.

Menurut beliau, projek kutipan sampah dilakukan secara dua syif iaitu dari jam 6 pagi hingga 3 petang dan 5 petang hingga 2 pagi.

“Ini pelan kontigensi kita untuk melicinkan pengambilan semula pengurusan sisa pepejal kini,” jelasnya.

Layari laman web rasmi MPSP, www.mpsp.gov.my untuk mendapatkan info mengenai kawasan-kawasan yang disenaraikan dalam syif pertama dan kedua tersebut.