MPSP ganda sesi rundingan bersama penduduk, tangani lambakan sisa

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal menggandakan sesi perbincangan dengan persatuan-persatuan penduduk berwajib, demi memastikan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca benarbenar berjaya menangani masalah lambakan sisa buangan di kawasan penempatan kategori flat dan kondominium.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, kajian World Bank pada tahun 2014 mendedahkan bahawa sebanyak 36.60 peratus sisa pepejal di bangunan tinggi (high rise building) adalah sisa organik, dengan purata sampah yang dijana adalah seberat 2.57 kilogram (kg) per penghuni per hari.

“Justeru, saya berharap penghuni Kondominium The Signature dapat kurangkan lagi purata sampah supaya alam sekitar dan bumi ini dipelihara.

“Kita (MPSP) akan memperluaskan Program Sisa Sifar Di Punca melalui medium perhubungan antara pihak majlis dengan masyarakat dalam menentukan kaedah penyelesaian bagi mengatasi masalah timbunan sisa buangan, pemilihan insinerator (kaedah tukar sampah menjadi sumber).

“(Diharap inisiatif MPSP ini) dapat memberi kesedaran kepada rakyat khususnya di Seberang Perai akan kepentingan menangani sisa dengan lebih berkesan sambil mengurangkan penghasilan sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah,” serunya pada Majlis Pelancaran Kempen Sisa Sifar Kondominium The Signature di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Edy Noor Zakariah (wakil Penduduk Kondominium The Signature) serta dua Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, Alias Wan Chek dan K. Kumar.

Penduduk, Rohaya Abdul Rani, 34, yang ditemui kemudian berkata, beliau sekeluarga menyokong penuh kempen-kempen menjaga alam sekitar anjuran MPSP sebelum ini.

“Saya dapat lihat Pulau Pinang sekarang ni tak macam dulu lagi, malah Kerajaan Negeri lebih mementingkan aspek kebersihan untuk menjadikan negeri ini bebas dari slogan ‘Pulau Pinang Darul Sampah’,” ujar beliau.

Nada sama turut dikongsi oleh seorang penduduk, Adli Lai Abdullah, 59.