MPSP organisasi pertama negara terima ISO 37001:2016 (ABMS) SIRIM, umum KM

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merupakan organisasi pertama negara yang diiktiraf Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau SIRIM Berhad, untuk Sistem Pengurusan Anti Suapan/Sogokan ISO 37001:2016 (ABMS).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sebanyak 10 organisasi daripada agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta menyertai projek ini, tetapi MPSP sahaja yang diberi pengiktirafan tersebut.

“Pengiktirafan ini sekaligus menjadikan MPSP sebagai PBT pertama negara yang menerima pengiktirafan pertama ini.

“Semua tersenarai merupakan syarikat gergasi, tetapi semuanya dikalahkan oleh MPSP… pengiktirafan kepada MPSP boleh dianggap sebagai ‘giant killer’,” katanya dalam sidang media bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berhubung pengumuman berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus serta beberapa pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang lain.

Difahamkan, 10 organisasi lain yang turut menyertai projek perintis SIRIM tersebut adalah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Bank Rakyat, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perkhidmatan Awam, Lembaga Tabung Haji, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), PBT Pengerang, Petroleum Malaysia Berhad, Top Glove Corporation Berhad.

Rozali memberitahu, MPSP dijemput menyertai skim pilot SIRIM tersebut sejak 25 April lalu dan PBT itu mula melaksanakan ABMS berkuatkuasa pada 1 Mei 2017, dengan skop Pengurusan Perkhidmatan Munisipal Di Seberang Perai.

“Skop pengurusan ini merangkumi kelulusan dan kawalan pembangunan, penilaian harta berkadar, penyelenggaraan pembersihan (sisa pepejal dan kerja pembersihan am), penyelenggaraan landskap, perlesenan, penguatkuasaan, perundangan dan lain-lain prosesproses sokongan lain,” jelasnya.

Di bawah projek ABMS berkaitan juga, Rozali menyatakan bahawa MPSP menyediakan platform aduan rasuah secara atas talian di portal rasmi MPSP, www. mpsp.gov.my. “Kita (MPSP) ada menyediakan (platform) Aduan Sogokan di bawah kolum Orang Awam dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujarnya.

Tambah Rozali, MPSP akan memproses segala aduan mengikut kaedah dalam PBT berkenaan, dan merujuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diperlukan untuk berbuat demikian.