MPSP pandang serius operasi pusat tahfiz tanpa kelulusan Bomba – Rosnani

SEBERANG JAYA – Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod berkata, pihaknya memandang serius pusat tahfiz yang beroperasi secara tidak sah serta tiada kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) di sini.

“Kita (MPSP) memandang serius perkara ini, dan saya pun telah berbincang dengan Bahagian Kerajaan Tempatan di Komtar.

“Mereka (Bahagian Kerajaan Tempatan) akan mengadakan satu perbincangan dengan pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bagi mendapatkan maklum balas lanjut mengenai syarat-syarat untuk mendaftarkan pusat tahfiz.

“Kalau ada syarat untuk mendapatkan ulasan Bomba, ertinya aspek keselamatan itu diambil kira, tetapi buat masa ini kita (MPSP) pun tidak mengetahui syarat-syarat (permohonan bagi pusat tahfiz) ini,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini 27 November lalu.

Menurut Rosnani, MPSP memandang serius isu berbangkit berkaitan kerana tidak mahu kejadian lebih 20 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dekat Kuala Lumpur yang terkorban pada September lalu, dikatakan tiada kelulusan Bomba, berulang di Pulau Pinang.

Sebelum itu, beliau dalam sesi soal jawab lisan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) memberitahu, setakat ini MPSP hanya menerima satu sahaja permohonan untuk operasi pusat tahfiz.

“(Pusat tahfiz) yang berdaftar dengan JAKIM dalam portalnya pada 22 November lalu, di rumah kedai ada empat sahaja, dua di SPT (Daerah Seberang Perai Tengah) dan dua lagi di SPS (Seberang Perai Utara)

“Yang beroperasi tanpa lesen, bagi kita (MPSP), iaitu dalam proses mendaftar dan tidak mendaftar, (menurut) portal JAKIM ini…pegawai kita pergi semak dan memang beroperasi, di SPU ada 11, di SPT (2) dan di SPS (3),” jelas beliau.