MPSP, PBT pertama dalam negara guna aplikasi ‘slido’ dekati para peniaga dan umum

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganjurkan program ‘Saya Peniaga Berintegriti’ dalam usaha untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya amalan perniagaan yang telus.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program berkenaan adalah satu perkongsian strategik antara MPSP dan Institusi Integriti Malaysia (IIM) yang berkonsepkan bual bicara bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan lebih telus dan inklusif.

“Ini adalah sesi bual bicara pertama dianjurkan oleh MPSP bersama-sama IIM dan peniaga yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Majlis.

“Walaupun sukar untuk berdepan dengan para peniaga tapi kita beranikan diri dengan menganjurkan program ini demi meningkatkan integriti dan menyelesaikan isu-isu di tapak perniagaan,” katanya pada sidang media di sini 17 April lalu.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli Majlis bagi MPSP, Dr. Tiun Ling Ta serta

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, penganjuran program itu juga adalah selaras dengan pendekatan 7Ps (Perkongsian Pintar) iaitu people (orang awam), public (dalam konteks ini MPSP), private (peniaga), philanthropy (persatuan peniaga/NGO), philosopher (institut integriti), planet (alam sekitar) dan partnership (rakan kongsi).

“Kita (MPSP) mahu menerokai perkongsian ini kerana kekuatan perkongsian berkaitan adalah sangat nyata iaitu supaya kita dapat bergerak dengan lebih lancar, lebih maju dan yang paling penting adalah demi kepentingan penduduk di Seberang Perai.

“Kita juga sediakan juru bahasa isyarat dalam program ini yang juga merupakan salah satu aspek inklusif MPSP bagi membolehkan seluruh masyarakat termasuk orang kurang upaya (OKU) memahami kandungan program,” jelasnya.

Tambah Rozali, MPSP juga menekankan pendekatan ‘Bandar Pintar’ berteraskan kemahuan penduduk iaitu dengan memperkenalkan aplikasi ‘slido’ yang mana peserta boleh bertanyakan soalan menggunakan telefon pintar.

“Kita adalah PBT dan jabatan kerajaan pertama di Malaysia melaksanakan program menggunakan aplikasi ini yang mana ia membolehkan semua pihak bertanyakan apa sahaja soalan berkaitan kepada MPSP.

“Aplikasi ini juga digunakan untuk memperluaskan capaian masyarakat terutama para peserta program untuk berkomunikasi secara langsung dengan MPSP,” ujarnya.