MPSP terbit peta pelancongan warisan Seberang Perai

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sebanyak 35,000 makalah Seberang Perai Heritage Map akan diedar sehingga hujung tahun ini demi mempromosi 30 lokasi pelancongan warisan menarik di ketiga-tiga daerah di sini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif berkata, inisiatif terbaru tersebut dilakukan selepas pihaknya berjaya menghasilkan Seberang Perai Tourist Map pada tahun lepas.

“Menariknya, penghasilan peta pelancongan warisan kali ini pun dibuat secara in-house melibatkan pegawai MPSP dan dibantu oleh ahli majlis,” ujarnya kepada wartawan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Seberang Perai Heritage Map edisi kedia sebelum ini telah dilancarkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Makalah pelancongan terbaru berkenaan memuatkan 20 lokasi tarikan pelancongan warisan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah, SPT (lapan lokasi) dan Seberang Perai Selatan, SPS (dua lokasi).

“Dalam peta ini, ada info mengenai warisan ketara, iaitu bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah, tapak warisan serta monumen warisan,

“Satu lagi adalah warisan tidak ketara (iaitu) cara hidup masyarakat setempat, seperti Tukang Besi Permatang Benuan, Capal Jago Kepala batas dan Pasar Bisik Pantai Kuala Muda,” jelas Maimunah lagi.

Beliau yakin, kunjungan pelancong ke George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dianggap kian meningkat sedikit banyaknya boleh didorong melawat lokasi-lokasi pelancongan warisan menarik di Seberang Perai kelak.