MPSP terima AKKP, penarafan lima bintang

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai pada Mac lalu menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) serta penarafan lima bintang.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, sijil penarafan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam satu majlis di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya 10 Julai lepas.

“Aspek penilai terbahagi kepada empat komponen, iaitu komitmen pengurusan, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen dan keselamatan peribadi.

“Bagi penarafan lima bintang, kementerian atau jabatan atau agensi perlu mendapat markah (antara) 95 peratus hingga 100 peratus, iaitu objektif setiap kriteria dicapai pada tahap cemerlang,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis MPSP lain turut sertai sidang media tersebut.

Difahamkan, Ali Hamsa sendiri memperkenalkan projek perintis AKKP pada tahun 2012, dengan memberi tumpuan kepada Kementerian, Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada tahun 2013, MPSP berjaya mendapat penarafan tiga bintang sahaja.

Namun, pada Mac lalu, MPSP diumumkan dalam senarai sembilan PBT yang mendapat AKKP dengan penarafan lima bintang tersebut.

Kali ini, semua kementerian, jabatan persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan PBT yang menerima AKKP dan penarafan lima bintang adalah berjumlah 45 pihak.