MPSP tubuh badan bertindak bersepadu tangani pusat hiburan, judi haram

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menubuhkan Badan Bertindak Pelesenan dan Penguatkuasaan Hiburan dan Kafe Internet secara bersepadu, dengan menjemput wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kewangan Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia serta beberapa agensi penguatkuasaan luar lain untuk turut serta.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, hasil penubuhan badan bertindak itu antara lain adalah menyediakan draf garis panduan yang ditambah baik untuk dibentangkan ke peringkat Majlis bagi tujuan kelulusan kelak.

“(Badan bertindak ini turut) membincangkan isu-isu penguatkuasaan, sehingga kini inventori premis hiburan simulator telahpun dikemaskini dan operasi penguatkuasaan akan diambil mengikut keutamaan berdasarkan senarai tersebut,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud dan barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut serta dalam sidang media bersama tersebut.

Maimunah memberitahu, MPSP turut meluluskan cadangan badan bertindak untuk membekukan permohonan baharu dan permohonan yang masih dalam proses sejak 1 September lalu.

“MPSP memberi sepenuhnya komitmen bagi menangani masalah kewujudan premis hiburan simulator tanpa lesen dan premis yang berlesen tetapi tidak mematuhi syarat-syarat pelesesan,” jelasnya sambil menasihatkan pengusaha premis hiburan ‘haram’ supaya memberhentikan operasi masing-masing bagi mengelak tindakan penguatkuasaan lanjut kelak.

Dua Ahli Majlis MPSP, P. David Marshel dan M. Satees yang dilihat lantang dalam isu berbangkit ini sejak tiga tahun lepas berharap komitmen terbaru PBT serta semua agensi penguatkuasaan luar berwajib lain mampu menangani kebanjiran pusat hiburan, operasi mesin perjudian simulator tanpa lesen, penjualan arak murah di ketiga-tiga daerah Seberang Perai.

Dalam perkembangan berkaitan, Pasukan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pada 17 September lepas mengemukan Laporan Pemetaan PremisPremis Yang Disyaki Menjalankan Aktiviti Judi Sekitar Bukit Mertajam kepada MPSP dam PDRM