Mustafa Kamal mahu tumpu aspek pendidikan & ekonomi komuniti

KINI, beliau bukan lagi Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Beliau diberi taklifan yang lebih penting, sebagai PPK atau Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Air Tawar. Lain tak bukan Mustafa Kamal Ahmad, 56.

“Program terakhir saya sebagai Ahli Majlis MPSP pada tahun lalu (2015) adalah menganjurkan program kitar semula dengan pelatih-pelatih di Klinik Cure & Care 1Malaysia Bukit Mertajam.

“Bukan mudah MPSP menganjurkan program bersama-sama agensi Persekutuan, tetapi alhamdulillah, kita berjaya bekerjasama dengan AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) dan Klinik Cure & Care 1Malaysia Cawangan Bukit Mertajam.

“Walaupun program itu hanya kitar semula, ia adalah kemahiran yang penting untuk para pelatih di klinik tersebut, supaya tidak terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah,” jelasnya semasa diwawancara oleh wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.

Beliau mempunyai seorang isteri dan lima cahaya mata.

Pendidikan & Ekonomi

Sebelum menjadi Ahli Majlis, Mustafa Kamal aktif dalam beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

Antaranya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Warisan Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia, serta pernah terlibat dalam Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang. Selain NGO, beliau turut mengasaskan Koperasi Komuniti Pokok Sena dan masih ditaklifkan sebagai pengerusi koperasi itu sehingga kini.

“Latar belakang sebenar saya dahulu adalah NGO, serta bergiat menggerakkan pembangunan ekonomi komuniti.

“Sebenarnya, saya juga mempunyai latar belakang sebagai pendidik serta pernah mempunyai institusi pendidikan sendiri, dulu.

“Bukan mudah untuk membuang pandangan serong masyarakat, maka, tidak dapat tidak, mesti bergantung pada kebolehan sendiri untuk mencari rezeki dan memulihkan semula kepercayaan masyarakat.

“Bagi saya, aspek pendidikan dan ekonomi penting, sebab itu, saya menganjurkan program pendidikan (seperti) bagaimana sepanduk terbuang boleh dikitar semula (iaitu) dijahit menjadi beg tangan dan sebagainya, lalu, dijual kepada anak-anak kita di klinik ini.

“Seperti anak-anak yang tersalah guna dadah ini, mereka juga ada alasan tersendiri untuk berubah dan program kemahiran menjahit beg daripada bahan yang boleh dikitar semula boleh membantu mereka,” jelas beliau.

Azam

Seperti orang lain, Mustafa Kamal turut berkongsi azamnya sempena menyambut tahun baru 2016. “Dulu sebagai Ahli Majlis (MPSP),sekarang PPK, lebih berat tanggungjawabnya, tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh saya sendiri secara peribadi.

“Apapun, aspek pendidikan dan pembangunan ekonomi akan menjadi fokus pada tahun ini (2016),” katanya.

Menurut beliau, rancangan Kerajaan Negeri melalui MPSP baru menandatangani perjanjian persefahan (MOU) untuk bekerjasama dengan ThinkCity Sdn. Bhd bagi meremajakan Butterworth dalam tempoh lima tahun akan datang, sekaligus akan membawa limpahan pembangunan serta projek ekonomi.

“Seperti KADUN Teluk Air Tawar berada di antara kawasan pemajuan ‘Program Butterworth Baharu’ di Parlimen Bagan dan beberapa lokasi eko-pelancongan di Kepala Batas, khususnya Penaga.

“Jadi, impak pembangunan di kawasan-kawasan yang akan diremajakan ini, sekaligus akan melimpah ke KADUN Teluk Air Tawar sendiri, jika program pendidikan dan pembangunan ekonomi diteroka dan dibangunkan di sini (Teluk Air Tawar).

“Seperti di Pantai Bersih umpamanya, sudah dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan rekreasi.

“Saya akan memajukan kawasan ini sebagai ‘Gerbang Malam Pantai’, tidak kira sebelah malam atau siang, tempat ini akan ‘dihidupkan’ dan ‘bersih’ dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Tinggal lagi, bagaimana kita boleh mengayakan lagi potensi ekonomi komuniti setempat, selain menjadikan Pantai Bersih sebagai salah satu ikon destinasi pelancongan menarik serantau yang dikenali di luar Pulau Pinang, mungkin ini perlu saya fokus juga,” ujar Mustafa Kamal.

Program Kampung Hijau

Menurut beliau, MPSP dengan kerjasama Penang Green Council (PGC) telah berjaya mempromosikan polisi hijau, dengan penganjuran Pertandingan Sekolah Hijau dan sebagainya.

Berbekalkan pada pengalaman dalam MPSP dahulu, Mustafa Kamal berhasrat untuk melebarkan kempen tersebut ke peringkat kampung dan desa di KADUN Teluk Air Tawar juga.

“Saya harap akan ada Program Kampung Hijau di Teluk Air Tawar sendiri kerana di sini masih ada banyak kampung dengan identiti tersendiri.

“Program Kampung Hijau ini boleh dianjurkan, dengan kerjasama jabatan pertanian dan jabatan veterinar, di mana akan ada beberapa kampung akan dijadikan projek perintis untuk program perkebunan dan penternakan secara organik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, tambahnya, tidak dapat tidak, polisi Pengasingan Sisa Di Punca akan dilaksanakan di negeri ini juga mulai 1 Jun depan. Justeru, Mustafa Kamal berharap beliau akan memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan komuniti dalam mengamalkan polisi ‘hijau’ itu.

“Memang perlu program penerangan, program pendidikan mengenai pentingnya amalan mengasingkan sisa pepejal dari punca, dan yang lebih penting adalah amalan ini boleh jana ekonomi komuniti, khususnya JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) di peringkat kampung dan desa,” jelasnya.

Impian

Walaupun KADUN Teluk Air Tawar adalah lapangan baru untuk memberi khidmat dan bakti, Mustafa Kamal memberitahu masih ada beberapa perkara lain yang mahu terus dilakukannya.

“Pertama, saya harap projek perintis sebelum ini mendidik serta meningkatkan kemahiran anak-anak kita yang tersalah guna dadah di Klinik AADK di Bukit Mertajam itu boleh nampak hasilnya.

“Terima kasih kepada AADK khususnya, Pengarah Pusat Kaunseling di sini, Yap Chung Hong.

“Selepas ini, mungkin mahu bekerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan yang lain, seperti Jabatan Penjara, Pusat Pemulihan Penagih Dadah, Pusat Transit Saudara Kita, Sekolah ‘Henry Gurney’ dan sebagainya.

“Bagi saya, golongan yang diuji ini perlu diberikan pendidikan bersifat kemahiran, supaya mereka ada peluang untuk hidup berdikari suatu hari nanti.

“Ini, mungkin perlu kerjasama antara NGO dan Jabatan Penjara dan pengendali pusat transit itu sendiri, supaya kelas menjahit, memasang tinted kereta, pertukangan dan sebagainya.

“Tiap-tiap manusia boleh berubah, sebab itu, di Teluk Air Tawar pun saya masih memberi tumpuan pada kerjakerja pendidikan bersifat kemahiran ini serta pembangunan ekonomi komuniti,” kata beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);