Muzium Kebudayaan Komik Asia kini di Komtar

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN WEI

MUZIUM Kebudayaan Komik Asia (ACCM) yang baru dibuka di Aras Dua ICT Digital Mall dijangka meremajakan lagi Komtar, yang turut menempatkan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pelbagai komik terkenal dari Singapura, Korea, Indonesia, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Taiwan boleh didapati di sini. Antaranya, komik Doraemon, Ultraman, Masked Rider, Ujang dan karya-karya terkemuka luar negara seawal 1930an, yang semestinya menggamit kenangan peminat serta pengumpul naskah lama itu.

Berkeluasan13,000 kaki persegi, koleksi yang terdapat di ACCM tidak terhad kepada komik semata-mata. Malah, muzium di sini turut menempatkan lakaran watakwatak komik terkemuka, naskah-naskah komik terhad, poster, cenderahati berasaskan watak komik, patung watak komik, lukisan 3D dan pelbagai lagi.

Menurut Presiden ACCM, Chin Yoke Kong, muzium tersebut pada April lalu menerima purata pengunjung lebih 100 orang tiap-tiap hari dan angka itu dijangka meningkat pada masa depan.

Yoke Kong berharap ACCM mampu menambah satu lagi cabang seni di Pulau Pinang, yang sememangnya menjadi hasrat Kerajaan Negeri dalam memperkembangkan kepelbagaian budaya seni di sini. Sejak dirasmikan oleh Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang pada 8 Mac lalu, muzium unik tersebut iaitu hari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 11 pagi hingga 7 malam.

Manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, waktu operasi dilanjutkan sehingga 8 malam. Pihak muzium berkaitan turut menurunkan harga tiket dari kadar asal sebanyak RM40 demi menghargai pengunjung, terutama peminat komik dan penggemar seni.

Harga pada kadaran baharu adalah RM15 untuk dewasa, RM10 untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun serta warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Tiket untuk pengunjung bukan warganegara pula serendah RM20 sahaja. Keterangan lanjut, hubungi talian 04 – 371 5512 atau layari laman sesawang www.paccm.com.my.

}