Naik taraf gelanggang bola keranjang Seberang Jaya penuhi keperluan setempat

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng meluluskan RM100,000 peruntukan kepada Pertubuhan Perayaan Yee Lan Seberang Jaya untuk menaik taraf Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung A-Zone di sini.

“Apabila rakyat ada keperluan, kita akan bantu walaupun dulu (sebelum tahun 2008) kawasan ini dianggap kubu kuat pembangkang iaitu Umno.

“Selepas tahun 2008, saya tegaskan bahawa saya akan menjadi Ketua Menteri untuk semua rakyat Pulau Pinang tidak kira komuniti penduduk setempat adalah penyokong kita atau pembangkang.

“Kerana ada keperluan penduduk di sini, sumbangan ini kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) berikan seperti dimohon,” jelasnya pada majlis penyerahan cek kepada pertubuhan berkaitan di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut berucap pada majlis sama.

Hock Seng dalam ucapannya memberitahu, kerja-kerja penarafan yang akan dilaksanakan di sini, antaranya membaik pulih keretakan struktur pada lantai gelanggang, pendawaian semula kabel elektrik dengan hos kuasa yang lebih besar, serta tukar ganti lampu limpah pada jenis lampu LED.