Naik taraf Jalan Paya Terubong, Relau jangka minimum risiko banjir

Admin

PAYA TERUBONG – Beberapa langkah penambahbaikan yang dijalankan di Jalan Paya Terubong, Relau di sini dijangka bakal meminimumkan risiko berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, penambahbaikan tersebut adalah melibatkan kerja-kerja membina kotak pembentung dan parit konkrit baharu, meningkatkan paras jalan, pelebaran jalan dan menaik taraf parit konkrit serta pembentung sedia ada.

“Ini termasuklah meningkatkan paras jalan dengan ketinggian dua kaki sepanjang 150 meter Jalan Paya Terubong berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Relau, yang mana bahagian jalan kini kerap kali ditakungi air hujan akibat keadaan laluan yang berada di paras rendah.

“Pembinaan kotak pembentung baharu berukuran 1.20 meter (m) x 1.20m di persimpangan Jalan Paya Terubong dan Jalan Kampung Batak, manakala, pembentung sedia ada akan dinaik taraf kepada ukuran 1.50 m x 1.50 m dengan keupayaan lebih tinggi.

“Selain itu, usaha ini juga bakal melibatkan penambahan lorong sedia ada, iaitu empat lorong kepada enam lorong dan pembinaan pembahagi jalan di bahagian tengah jalan,” ujarnya ketika melakukan lawatan kerja ke kawasan terbabit baru-baru ini di sini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan wakil syarikat pemaju.

Kerja-kerja pembinaan serta menaik taraf berkenaan adalah membabitkan kos perbelanjaan RM2,705,000 dibiayai pemaju berwajib, Modular Platinum Sdn. Bhd. yang merupakan kos infrastruktur, dan kos berkenaan akan ditolak oleh MBPP apabila projek berkenaan siap kelak.

Kerja-kerja menaik taraf dijangka dimulakan pada 17 Julai 2017 dan dijangka siap sepenuhnya, Julai 2018.