Naik taraf kemudahan sukan, ADUN harap lahirkan atlet antarabangsa

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berharap segala usaha menaik taraf kemudahan sukan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkaitan dapat menyemarakkan semangat kesukanan sekaligus melahirkan atlet berbakat di arena sukan antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau gelanggang sepak takraw bersebelahan Masjid Jamek Paya Terubong yang siap dinaik taraf di sini baru-baru ini.

“Usaha menaik taraf kemudahan sukan misalnya gelanggang sepak takraw di sini adalah bagi menggalakkan golongan belia khususnya menyertai aktiviti berfaedah.

“Dan mungkin sekiranya berpeluang, bintang sepak takraw dapat ‘dilahirkan’ di sini,” ujarnya yang mahu penduduk menjaga baik kemudahan sukan berkaitan.

Difahamkan, sejumlah RM14,000 diperuntukan bagi menaik taraf gelanggang tersebut termasuk menukar bumbung dan mengecat semula gazebo, memasang pagar di kiri serta kanan gelanggang serta menyediakan kemudahan untuk pengadil.

Mengulas lanjut, Hon Wai turut mengajak anak-anak muda di kawasan tersebut menyertai kejohanan sepak takraw yang dianjurkan oleh beliau.

“Kejohanan Sepak Takraw Piala KADUN Air Itam merupakan antara kejohanan terbesar di negeri ini.

“Tahun lalu, lebih 70 pasukan menyertai kejohanan berkaitan dan tahun ini sekitar bulan Disember akan diadakan lagi…saya berharap anak-anak muda di sini dapat menyertainya.

“Manalah tahu, suati hari anda mungkin mengikut jejak langkah Muhammad Zaim (Muhammad Zaim Razali, atlet sukan sepak takraw negara) dan mengharumkan negeri Pulau Pinang di arena sukan antarabangsa,” ujarnya yang turut menyempurnakan servis sepak takraw pada lawatan berkenaan.

Dalam pada itu, wakil Pengerusi Masjid Jamek Paya Terubong, Razali Razak memberitahu bahawa anak watan kelahiran kampung berkenaan, Muhammad Zaim, 21, kini mewakili Malaysia ke sukan SEA dalam acara sepak takraw.

“Gelanggang inilah menjadi medan untuk (Muhammad) Zaim berlatih setiap hari sehingga mampu mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan sepak takraw.

“(Muhammad) Zaim menyertai Sukan SEA 2015 di Singapura dan berjaya mendapatkan dua pingat perak dan satu gangsa…suatu pencapaian yang amat baik,” katanya yang turut berbangga apabila beliau sendiri menjadi pelatih sepak takraw atlet berkaitan.