Naik taraf laluan pejalan kaki Gat Lebuh China agar mesra, mudah diakses semua pihak

PENGKALAN KOTA – Dalam menjadikan George Town Bandar Raya Warisan yang mampan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), George Town Conservation & Development Corporation (GTCDC) Sdn. Bhd. kini sedang menaik taraf sebahagian laluan pejalan kaki di Gat Lebuh China membabitkan kos berjumlah RM3 juta.

Menurut Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd (ThinkCity), Hamdan Abdul Majeed, projek tersebut adalah merangkumi usaha menaik taraf laluan pejalan kaki, menanam pokok teduhan, naik taraf longkang zaman kolonial dan lain-lain.

“Matlamat utama projek infrastruktur ini adalah bertujuan menaik taraf landskap pejalan kaki, mempromosikan aktiviti berjalan kaki serta berbasikal dan memperlahankan aliran trafik.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, projek tersebut merupakan suatu perubahan yang dibuat secara berperingkat membabitkan transformasi terancang untuk George Town agar ia mudah diakses oleh semua pihak.

“Kawasan awam di sini akan jadi lebih mesra pengguna jalan kaki, basikal, golongan kurang upaya (OKU) serta meningkatkan aktiviti di pinggir laut selari dengan status George Town Bandar Raya Warisan UNESCO sebagaimana projek penaiktarafan lorong-lorong belakang sebelum ini.

“Kawasan longkang asal sejak zaman kolonial (100 hingga 120 tahun) juga akan dinaik taraf memandangkan kawasan ini juga kerap dinaiki air. Apa yang dicadangkan adalah membina perparitan keluar lebih tinggi daripada paras laut kerana saluran sedia ada kini akan tenggelam sekiranya air pasang,” katanya ketika lawatan tapak tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Law Keng Ee; Datuk Bandar bagi MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Ahli Majlis bagi MBPP, Harvinder Singh, Khoo Salma Nasution serta Wong Yuee Harng.

Tambah Kon Yeow, hiasan seperti kerusi juga akan ditambah dalam mengindahkan lagi kawasan tersebut agar ia mampu menjadi lokasi istirahat pelancong.

“Projek sebanyak tiga fasa sepanjang 700 meter kini sudah 30 peratus siap, dan keseluruhan projek dijangka selesai pada awal Jun tahun ini juga,” jelasnya.