Naik taraf lif Perumahan Awam Padang Tembak demi selesa rakyat

Admin

KEBUN BUNGA – Susulan dua kejadian kebakaran lif di Blok C, Perumahan Awam Kerajaan Negeri di Padang Tembak pada Julai dan November tahun lalu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini mengumumkan perkembangan baru bagi mengatasi permasalahan tersebut.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, salah satu lif tersebut sudahpun dibaiki dan beroperasi sepenuhnya.

“Kos pertukaran lif pertama merangkumi keseluruhan sistem menelan belanja sebanyak RM103,880. Lif ini telah siap dan berfungsi sepenuhnya pada 30 Disember 2016 lalu.

“Bagi lif kedua (L2), permohonan kelulusan bagi lantikan syarikat kontraktor telah dihantar kepada Jabatan Kewangan Negeri (JKN) pada 6 Februari lalu dan kelulusan diperoleh pada 16 Februari 2017.

“(Dan) kerja-kerja baik pulih boleh dimulakan seawal 8 Mei ini dan siap pada 26 Mei 2017. “Manakala pemasangan lif ketiga (L3) akan bermula sebaik sahaja siap L2 siap dan ianya dijangka selesai pertengahan Jun 2017 nanti,” jelasnya ketika mengadakan lawatan khas di sini barubaru ini.

ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang turut hadir turut mengecam tindakan vandalisme yang dipercayai kerap terjadi di kawasan tersebut.

Serentak itu, Jagdeep turut memaklumkan bahawa pemasangan lif baharu akan dijalankan bagi blok D, F serta H, dan kerja-kerja pemasangan dijangka bermula dari Mei hingga Oktober tahun ini.