Naik taraf longkang Jalan Jelutong, Jalan Madrasah, ADUN harap selesai masalah limpahan air

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SUNGAI PINANG – Sejumlah RM35,000 diperuntukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi kerja-kerja menaik taraf longkang serta melencongkan laluan air di Jalan Jelutong dan Jalan Madrasah di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, kerja-kerja menaik taraf tersebut adalah bagi membendung masalah limpahan air terutama ketika hujan lebat.

“Longkang di Jalan Jelutong dan Jalan Madrasah ini kerap kali tersumbat kerana keadaan fizikalnya yang tertutup dan menyukarkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

“Jadi, saya harap dengan kerja-kerja menaik taraf ini, ia mampu menyelesaikan masalah limpahan air yang kini menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika melawat kerjakerja menaik taraf di hadapan premis No. 595-C hingga No. 569 Jalan Jelutong baru-baru ini.

Turut sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang yang juga ADUN Batu Lancang dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Dalam pada itu, Siew Khim turut meminta penduduk sekitar Jalan Jelutong dan Jalan Madrasah serta pengguna laluan berkaitan supaya bersabar serta mematuhi arahan lalu lintas dari masa ke masa.

“Kerja-kerja menaik taraf ini mengikut jadual dan dijangka siap pada 6 Julai 2017.

“Saya harap orang ramai, khususnya dari Kedai Kopi Lum Wah hingga ke Restoran Nasi Kandar Ali Ameer supaya berhati-hati dan bersabar sepanjang kerja-kerja dilakukan kerana ia adalah untuk keselesaan pada masa hadapan,” serunya.

Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf turut merangkumi penukaran kotak aliran bersaiz 300 milimeter (mm) x 300mm dan 450mm x 450mm sepanjang 77 meter di Jalan Jelutong dan di Jalan Madrasah (15 meter).

Komponen lain, pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 95 meter, kerja-kerja pengalihan utiliti serta penurapan semula jalan.