Naiktaraf Akademi Gimrama promosi kalangan belia negeri

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: CHAN LILIAN

BATU UBAN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) memperuntukkan sejumlah RM125,000 bagi tahun 2014 bertujuan menyelenggara, membaikpulih dan menaiktaraf Akademi Gimrama MSNPP di sini. Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, peruntukan itu termasuk bagi kerja-kerja membaiki dan menyelenggara gelanggang gimrama.

“Jumlah peruntukan ini adalah sebahagian dari hasrat Kerajaan Negeri untuk mempromosikan sukan gimrama dalam kalangan belia Pulau Pinang.

“Malah, Y.A.B. Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa sejumlah RM6.84 juta diperuntukkan pada tahun 2015 bagi tujuan membina baru, menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan sukan sedia ada.

“Jumlah ini termasuk pengurusan kemudahan dan pelaksanaan program pembangunan sukan bagi atlet-atlet berprestasi tinggi di Pulau Pinang,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Akademi Gimrama MSNPP di sini baru-baru ini.

Chong Eng yang sebelum itu hadir ke Majlis Makan Malam Penghargaan Persatuan-persatuan Sukan Negeri Pulau Pinang Bersama Media Massa 2015 turut meluangkan masa beramah-mesra bersama atlet-atlet yang hadir.

Turut serta, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ghazali Derahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait; Pengarah MSNPP, Frederick Tan; Timbalan Pengerusi II, Datuk Ong Poh Eng dan Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah).