Naiktaraf lif, siap awal 2015

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

DATUK KERAMAT – Hasil inisiatif Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Taman Free School bersetuju menaiktaraf lif membabitkan tiga blok 11 tingkat iaitu Blok L, M dan N di sini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja-kerja naiktaraf dan pembukaan lif bakal mengambil tempoh masa dua bulan setengah dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan dengan kos RM318,000.

“Persetujuan tersebut adalah hasil tinjauan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan berhubung masalah berbangkit.

“Selain menaiktaraf, penduduk di sini juga meminta Kerajaan Negeri supaya memastikan lif yang beroperasi di setiap tingkat yang mana kini, ia (lif) hanya akan berhenti di setiap dua tingkat bermula dari tingkat 1.

“Secara tidak langsung, sistem operasi tersebut menyukarkan pergerakan penduduk terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk turun naik,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak ke Blok L, M dan N Flat Taman Free School di sini baru-baru ini.

Flat Taman Free School adalah antara flat kos rendah tertua di Pulau Pinang. Dibina pada tahun 1965, setiap Blok L, M dan N mempunyai 87 unit rumah.