Naiktaraf lokasi daki Bukit Jambul tambah pengunjung

Gambar : DANNY OOI

BATU UBAN – Kerjakerja menaiktaraf lokasi pendakian popular Bukit Jambul sejak April tahun lalu kini telah siap sepenuhnya di sini baru-baru ini. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memperuntukkan RM 270, 000 bagi pelaksanaan projek berkaitan yang dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan demi keselesaan para pendaki.

Beliau memberitahu, penaiktarafan tersebut difikirkan perlu ekoran lokasi tersebut merupakan destinasi dakian popular di Pulau Pinang terutamanya untuk peminat – peminat aktiviti kecerdasan termasuk pelancong asing.

“Kawasan dakian ini telah dinaiktaraf dan diperindahkan untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Saya percaya, lebih ramai pendaki akan memilih untuk datang ke sini dengan kemudahan baru yang ada.

“Ini adalah sejajar dengan strategi menggalakkan kehidupan lebih sihat dalam kalangan masyarakat di sini.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) komited menyokong dan memupuk aktiviti-aktiviti seperti ini untuk dipergiatkan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Gazebo dan Trek Mendaki Bukit Jambul di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Antara kemudahan yang dinaiktaraf adalah melibatkan pemasangan pagar keselamatan di sepanjang denai mendaki, merobohkan struktur sedia ada, memasang papan tanda, mendirikan gerbang pintu masuk dan kemudahan tandas.

Turut dibina, dua gazebo untuk para pendaki berehat sambil menyaksikan pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.