Nasi lemak ala youtube Shah murah & sedap

Admin

 

MUHAMAD Shaher Mat atau Shah.
MUHAMAD Shaher Mat atau Shah.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD & ALBUM

 

DENGAN harga jualan RM1,tidak banyak yang kita dapat diperoleh kini. Sama dengan makanan, harga tersebut hanya sekadar untuk nasi putih dan lauk sayur sahaja.

 

Namun, di Teluk Bahang, anda masih dapat memperoleh nasi lemak berinti lengkap dengan sambal tumis, ikan bilis, telur dan nasi  ‘bersaiz besar’.

 

Banyak!! Sedapppp…..

 

Itulah luahan penulis apabila melihat serta merasai sendiri nasi lemak ala youtube Muhamad Shaher Mat, 31, atau lebih dikenali sebagai Shah pada sesi wawancara baru-baru ini.

 

Uniknya, nasi lemak anak muda tempatan tersebut bukan sahaja murah, malah, dapat bertahan sehingga jam 1 pagi keesokannya.

 

Shah yang pemalu orangnya menyatakan bahawa resipi nasi lemak beliau adalah daripada youtube.

 

Sebelum ini, Shah tidak pernah ke dapur. Malah, pembabitan beliau dalam perniagaan tersebut adalah ekoran tergerak hati (niat) untuk bersedekah kepada pelajar-pelajar sekolah agama di Teluk Bahang.

 

“Saya nampak ada orang bersedekah kepada sekolah agama di sini.

 

“Dari situ, wujud niat untuk berbuat demikian. Justeru, saya melayari laman youtube untuk mendapatkan resipi masakan tersebut (nasi lemak),’’ katanya kepada Buletin Mutiara.

 

PERSEDIAAN terakhir sebelum membungkus nasi lemak.
PERSEDIAAN terakhir sebelum membungkus nasi lemak.

Bermula dari situ, ada pihak yang membuat tempahan dan lama-kelamaan ia menjadi perniagaan dan pendapatannya sekeluarga.

 

Kini, setiap minggu, secara purata, sejumlah 800 bungkus nasi lemak dapat dijual termasuk tempahan daripada pejabat-pejabat korporat di Teluk Bahang dan juga Balik Pulau.

 

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai rahsia nasi lemak keluarannya yang dapat bertahan hingga keesokan harinya, Shah menjelaskan bahawa ia adalah hasil perkongsian resipi daripada orang-orang lama dikenali beliau.

 

“Percubaan pertama selepas melayari laman youtube memang menjadi, namun, ia (nasi lemak) tak tahan lama. Mudah jadi basi.

 

“Selepas itu, saya tanya orang-orang tua dan alhamdulillah, mereka sanggup berkongsi rahsia tersebut,’’ katanya yang dikurniakan tiga cahaya mata yang masing-masing berusia lapan tahun, empat tahun dan sembilan bulan.

 

Mengulas lanjut, Shah turut menyatakan bahawa teknik pembungkusan nasi lemak juga amat mencabar bagi dirinya.

 

‘Saya mengambil tempoh masa dua bulan untuk betul-betul memahiri teknik pembungkusan nasi lemak.

 

“Pada peringkat permulaan, saya bungkus nasi lemak jadi macam bee hun (tidak muncung dan berbentuk tiga segi).

 

“Saya kemudian rujuk pada youtube, tapi tak jadi juga. Selepas itu, saya beli nasi lemak di kedai sebagai contoh,’’ jelasnya sambil tersenyum.

 

Shah yang turut memiliki kemahiran dalam bidang jahitan memberitahu bahawa perniagaan nasi lemak yang dijalankannya turut memperuntukkan komitmen masa yang panjang.

 

“Setiap hari, saya bangun seawal 2 pagi. Masak kuah perlukan empat jam. Balut 400 bungkus nasi lemak selama tiga jam dan periuk nasi saya hanya cukup untuk 90 bungkus sahaja.

 

“Justeru, untuk 400 bungkus, saya perlu kukus nasi  beberapa kali baru boleh siap semua,’’ ujar beliau yang turut tidak menafikan bahawa kos barangan bekalan untuk pembuatan nasi lemak seperti beras dan ikan bilis kian meningkat kini.

 

MENUNJUKKAN teknik pembungkusan nasi lemak.
MENUNJUKKAN teknik pembungkusan nasi lemak.

Bagi perancangan masa depan, Shah yang tidak bercadang menaikkan harga nasi lemaknya menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk mempelbagaikan lagi produk jualannya seperti nasi dagang, nasi kerabu dan lain-lain.

 

“Yang pasti, resipinya adalah dari youtube,’’ katanya yang telah dua tahun berkecimpung dalam bidang jahitan mengikut jejak ibunya.

 

 

INFO :

012 – 479 4847