Negeri tuan rumah Pameran Semicon Asia Tenggara, April ini

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : CHAN LILIAN

BAYAN BARU – Penganjuran pameran semikonduktor terbesar di rantau ini, Pameran Semicon Asia Tenggara 2015 yang julung kali bakal diadakan di sini pada 22 hingga 24 April ini dijangka mampu menarik lebih 7,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pengarah investPenang (iP) , Datuk Lee Kah Choon berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi penganjuran pertama di Malaysia adalah didorong oleh perkembangan industri semikonduktor negeri ini yang bergerak cergas.

“Pulau Pinang mempunyai industri semikonduktor yang mantap, selain berperanan penting dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Menurut MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), statistik jumlah pelaburan diluluskan dalam industri E&E Malaysia adalah berjumlah RM11. 1 bilion pada tahun lalu (2014).

“Eksport E&E adalah berjumlah RM256.1 bilion pada tahun sama, iaitu menyumbang kira-kira 43.6 peratus daripada jumlah eksport pengilangan di negara ini.

“Malaysia kini adalah antara lokasi terkemuka dunia untuk pemasangan mikro-elektronik, pembungkusan dan pengujian yang mana ia menyumbang sebanyak 10 peratus daripada pengeluaran semikonduktor produk akhir ke seluruh dunia. Lapan peratus daripadanya adalah dari Pulau Pinang,” jelasnya pada sidang media mengumumkan penganjuran Pameran Semicon Asia Tenggara 2015 yang bakal diadakan di Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre (SPICE) di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar iP, Loo Lee Lian. Penganjuran pameran berkaitan adalah oleh SEMI iaitu sebuah persatuan industri global yang berkhidmat sebagai rantaian bekalan pengilangan dalam industri mikroelektronik, paparan dan industri photovoltaic.

Sebanyak 200 ruang pameran telah terjual kepada 150 syarikat iaitu 70 peratus daripadanya adalah syarikat asing antaranya dari Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Singapura.

}