Nepcon bawa sentuhan teknologi negara maju

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MARK JAMES

BAYAN BARU – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa penganjuran Pameran Industri Elektrik dan Elektronik (Nepcon) Malaysia Ke- 16 2015 di sini baru-baru ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang di Organisasi Pembangunan Industri (UNIDO) bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, Pulau Pinang telah lama menjadi pemain utama sektor elektrik dan elektronik (E&E) rantau ini.

“Melalui industri E&E, kita mampu menjadi sebahagian daripada 10 lokasi industri kelompok dengan ekosistem menarik, kebolehan bertaraf dunia dengan rekod cemerlang dan tenaga mahir yang mencukupi.

“Malah, melalui penganjuran Nepcon, Pulau Pinang berjaya membawa sentuhan teknologi dari negara-negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea, Switzerland dan Amerika Syarikat yang mana bakal memperhebatkan lagi perkembangan industri berkaitan di sini,’’ ucapnya pada Majlis Perasmian Nepcon Malaysia Ke-16 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Reed Exhibitions selaku penganjur Nepcon Malaysia 2015, Michelle Lim.

Tambah Guan Eng, industri E&E menyumbangkan sebanyak 25 peratus dalam sektor pembuatan negara yang secara tidak langsung menaikkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa Pulau Pinang menerima pelaburan sebanyak 15
peratus daripada keseluruhan pelaburan negara dari tahun 2008 hingga kini.

“Pada 2013, jumlah pelaburan Pulau Pinang adalah berjumlah RM3.9 bilion dan RM8.16 bilion (2014), iaitu peningkatan sebanyak 109 peratus,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut Michelle, pihaknya memperoleh 319 penyertaan membabitkan 26 negara pada penganjuran tahun ini.

“Justeru, kami mensasarkan peningkatan transaksi dapat dicapai lima hingga enam peratus pada tahun ini.

“Ini adalah berdasarkan pemasaran 38 peratus produk baru dari 26 negara (luar dan dalam) dengan jumlah 319 penyertaan secara keseluruhan,’’ jelas beliau.