NEPCON julung kali tumpu segmen automasi

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Penganjuran Pameran Industri Pembuatan Elektronik terbesar negara, NEPCON Malaysia 2014, buat julung kalinya memberi penumpuan kepada segmen automasi yang dilihat semakin berkembang pesat dalam negara kini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Pengarah Urusan Reed Exhibition, Michelle Lim pada Majlis Perasmian NEPCON Malaysia 2014 di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa penganjuran program kali ke-15 yang memperoleh penyertaan daripada 41 syarikat automasi dalam dan luar negara tersebut memperoleh sambutan 6,000 pengunjung dan peluang perniagaan yang lebih besar.

“Segmen automasi dilihat semakin berkembang pesat dalam meningkatkan produktiviti industri berkenaan, malah, industri ini sering berhadapan dengan masalah tenaga kerja mahir.

“Dalam industri yang mengalami pelbagai cabaran global dan tempatan, teknologi pengetahuan adalah sangat penting buat para pelanggan kami.

“Justeru, penganjuran kali ini turut melengkapkan  segmen automasi dengan mengadakan forum yang turut membincangkan penyelesaian mengatasi masalah pekerja mahir dan mengurangkan kos operasi kilang,” ucapnya di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon hadir menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.

Hadir sama, Direktor Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Azhana Mohamed Saleh dan Pembantu Direktor Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Muhamad Husni Ya.

Selain syarikat tempatan, turut mengambil bahagian adalah pempamer antarabangsa seperti Jerman, Hong Kong, Jepun, Taiwan dan Singapura.

Dalam pada itu, Rashid berkata, pameran perdagangan seperti NEPCON adalah cara terbaik buat pelabur asing datang dan melihat sendiri pelaburan serta potensi perniagaan di Pulau Pinang.

“Pada tahun lepas (2013), Pulau Pinang berjaya menarik RM3.9 bilion pelaburan langsung asing bagi sektor pembuatan sahaja.

“Sebagai ekonomi yang matang kini, Pulau Pinang dilihat sesuai untuk pembangunan industri teknologi tinggi berintensifkan automasi,” ujar beliau.