NGO urus rumah perlindungan wajar terima lebih dana Putrajaya – Zairil

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGAH – Badan bukan kerajaan (NGO) menguruskan rumah perlindungan kanak-kanak, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) di negara ini sewajarnya mendapat dana sokongan yang lebih secara langsung daripada Putrajaya, sebagaimana di negara-negara maju lain.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata demikian pada Majlis Penyampaian Seragam Dan Kelengkapan Persekolahan Sesi Tahun 2015 kepada 19 anak yatim terpilih yang mendiami Shan Children’s Home di sini baru-baru ini.

“Salah satu cabaran di Malaysia adalah sesetengah NGO yang tampil melaksanakan program amal tidak mendapat sokongan menggalakkan daripada Kerajaan Pusat terutama berkaitan kebajikan (anak-anak yatim) sendiri.

“Masalahnya, ada yang mahir dan ada yang tidak mahir apabila Kerajaan Pusat cuba membangunkan pusat perkembangan seumpama ini (rumah pelindungan anak yatim).

“Justeru, saya mencadangkan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan yang lebih kepada sektor swasta seperti NGO amal dikenalpasti mahir dalam membangunkan rumah perlindungan sebagai sebuah institusi perkembangan bakat kanak-kanak sebenar, dengan syarat ada pemantauan tadbir urus dana daripada Kerajaan Pusat sendiri,” ujarnya pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zairil turut mempertikai kewajaran Kerajaan Pusat memberi peruntukan “luar biasa” berjumlah RM711 juta untuk Projek Permata Negara (Permata) yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2015 pada bulan Oktober lepas.

Pada majlis tersebut, Zairil turut menyumbang sebuah mesin basuh 10 kilogram jenama Samsung kepada rumah anak yatim tersebut demi memudahkan mereka menguruskan keperluan hidup masing-masing.

Difahamkan, pemberian barang kelengkapan sekolah kepada lapan murid sekolah rendah dan 11 murid sekolah menengah terpilih daripada rumah pelindungan berkenaan menelan belanja RM1,310 menggunakan peruntukan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Bendera.

Sebelum itu, Pengasas merangkap Pengerusi Penang Shan Children’s Home Association, Dr. S. Balakrishnan berkata, pihaknya gigih berusaha menjadikan rumah perlindungan tersebut sebagai pusat perkembangan bakat kanak-kanak diiktiraf Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri.

“Kami sangat mengalu-alukan bantuan berupa makanan bermutu serta sokongan dana kerana rumah perlindungan
di sini sepatutnya lebih berperanan sebagai pusat perkembangan bakat untuk mereka yang terpilih mendiami di sini,” jelas Balakrishnan sambil mengalu-alukan sokongan dana daripada pihak berwajib.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit dan Syerleena Abdul Rashid turut menyertai majlis sumbangan amal berkenaan.