Norazlan penggerak Skuad Kebajikan Seberang Jaya

Admin

KEGAGALAN merampas kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 tidak pernah mematahkan semangat mereka.

Sebaliknya, Ahmad Norazlan Zainal, 41, bersama-sama beberapa aktivis mengambil keputusan untuk menggandakan kerja-kerja kebajikan menggunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sehingga dikatakan salah satu sebab menyumbang pada kejayaan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang
Jaya yang berada dalam Kawasan Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum lepas, 5 Mei 2013.

Kini, kerusi ADUN Seberang Jaya disandang oleh Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

“Pertubuhan Komuniti Prihatin Seberang Jaya ini didaftar di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan) pada 31 Disember 2013, tetapi sebelum nama berdaftar, Skuad Prihatin Seberang Jaya ini menggerakkan aktiviti sukarelawan berkebajikan melalui Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak tahun 2010 lagi.

“Sebelum penubuhan Skuad Prihatin ini, ‘kita’ seakan tiada dalam kesusahan komuniti Seberang Jaya, walaupun ‘kita’ berjaya tubuh Kerajaan Negeri, kerana banyak golongan terpilih tidak berjaya merebut manfaat daripada program-program Kerajaan Negeri sejak tahun 2008.

“Beberapa pihak daripada kalangan kelompok anak muda banyak membantu dan bergabung tenaga untuk fokus pada gerak kerja kebajikan ini sampai tertubuhnya Skuad Prihatin Seberang Jaya.

“Masih banyak lagi Skuad Prihatin Seberang Jaya perlu lakukan untuk kerja-kerja kebajikan komuniti, walaupun Alhamdulillah, ‘Kak Wan’ (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) berjaya mempertahankan kemenangan bagi Kerusi Parlimen Permatang Pauh,” ujar Ahmad Norazlan semasa diwawancara oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di Jalan Tenggiri dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Ahmad Norazlan lebih 20 tahun bermastautin di Pulau Pinang, walaupun dilahirkan di Kuala Lumpur.

Beliau mengaku bahawa jiwanya lebih serasi dengan kerja-kerja kebajikan komuniti berbanding aktiviti politik kepartian.

“Kerja kebajikan ini aktiviti kegemaran ibu saya, itu yang saya lihat sejak kecil di rumah.

“Kerja-kerja kebajikan seperti membantu golongan terpilih memohon sumbangan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) atau kerja-kerja membaikpulih rumah umpamanya, ini semua berbekal pengalaman buat kerja-kerja kebajikan semasa di Sekolah Sri Ampang (dekat Kuala Lumpur) dulu lagi.

“Kata orang, guru terbaik adalah pengalaman.

“Dahulu, saya adalah perunding insurans sepenuh masa dan kerja-kerja kebajikan ini dibuat secara sambilan, tetapi kini, kerja-kerja kebajikan ini pula jadi kerja sepenuh masa saya di Seberang Perai,” seloroh beliau yang dilihat cepat sahaja mesra dengan sesiapa, walaupun pada pertemuan kali pertama.

HIDUPKAN KEBAJIKAN KOMUNITI

Pun begitu, Ahmad Norazlan memberitahu bahawa Skuad Prihatin Seberang Jaya bukanlah pertubuhan berorentasikan keuntungan.

“Peringkat awal, fokus kerja kebajikan melalui kerjasama dengan Zakat Pulau Pinang, seperti membantu memohon sumbangan elaun bulanan, bantuan perubatan, alatan sokongan atau kerusi roda untuk beberapa golongan asnaf terpilih.

“Contoh, bagi pesakit yang terdampar, kita ziarah dan urus permohonan sampai diluluskan oleh zakat.

“Kerja-kerja kebajikan sebegini bukan sahaja melunakkan hati pesakit tersebut, sebaliknya, sanak-saudara dan jiran tetangganya turut melihat ‘kita’ dengan lebih baik.

Menurut Ahmad Norazlan, ZPP melalui Penolong Pengurusnya, Ustaz Mohamad Kairi Ghazali dan beberapa individu lain banyak membantu menjayakan program kebajikan Skuad Prihatin Seberang Jaya.

“Cuma, bermula tahun lepas (2014), skuad mula fokus pada kerja-kerja komuniti seperti baikpulih rumah orang susah atau dilanda bencana dalam kawasan DUN Seberang Jaya.

“ZPP banyak membantu…mereka cadang lantik kontraktor untuk baikpulih rumah-rumah terpilih sebagaimana dimohon melalui Skuad Prihatin Seberang Jaya.

“Tetapi, saya minta supaya kerjakerja baikpulih rumah ini dilakukan secara gotong-royong dengan komuniti setempat, agar semua komuniti tahu bahawa masing-masing bertanggungjawab ke atas golongan terpilih seperti ibu tunggal, warga emas, pesakit kronik, anak yatim dan sebagainya.

“Gotong-royong ini adalah budaya Malayu yang patut ada dalam tiap-tiap pemikiran generasi kita, sama ada di kampung atau di bandar seperti Seberang Jaya, itu yang Skuad Prihatin Seberang Jaya cuba hidupkan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Skuad Prihatin Seberang Jaya sejak tahun 2010 berjaya membantu permohonan hampir 1,000
golongan terpilih pelbagai kategori hingga berjaya mendapat bantuan berwajib daripada ZPP.

“Satu lagi, ada lebih 50 kes, kita berjaya mendapatkan elaun bulanan daripada sumber zakat kepada mereka hingga ke hari ini,” kata beliau.

Kini, tambah Ahmad Norazlan, Skuad Prihatin Seberang Jaya mula menganjurkan program meningkatkan keupayaan komuniti terpilih, seperti kursus memasak, menjahit dan sebagainya, turut dengan kerjasama ZPP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini memang program kemahiran, kalau dua daripada 10 peserta yang mengikuti kurus pendek ini keluar dan berjaya, itu cukup baik bagi kami,” ujarnya.

MANIS DAN PAHIT

Ahmad Norazlan memberitahu bahawa pasukannya mencari kepuasan dalam melakukan aktiviti kebajikan, walaupun masing-masing mempunyai komitmen dalam organisasi kepartian.

“Kerja baikpulih dan tukar bumbung rumah umpamanya memang letih, tetapi apabila kita balik rumah dan tidur, esok kita akan rasa kepuasan apabila pergi melihat rumah tersebut.

“Orang tua dia sensitif dengan hujan kalau bumbung bocor sebab imuniti badan dah tak kuat seperti orang muda, kalau kita bantu dia, tentulah ada kasih sayang dia kepada kita selagi dia hidup.

“Tetapi, yang tak manisnya, ada waris atau jiran sekeliling pernah melahirkan rasa tidak selesa dengan kerja-kerja Skuad Prihatin Seberang Jaya ini, kononnya melangkaui tanggungjawab komuniti mereka.

“Kadang-kadang ada pertubuhan komuniti pertikai mengenai kerja membaikpulih rumah tanpa mengira perbezaan idealogi politik kerana kurang faham mengenai Skuad Prihatin ini adalah NGO, bukan (sayap) parti politik.

“Sampai saya terpaksa kata, yang kerja buat kebajikan ini selepas mendapat peruntukan khusus daripada ZPP dan berbeza dengan mereka yang masing menunggu proses kelulusan JKM.

“Kita kena ada hubungan peribadi dengan pegawai-pegawai ZPP, barulah mudah berurusan kerana yang paling penting adalah pupuk kepercayaan,” kata beliau.

HARAPAN

Ahmad Norazlan mempunyai pendapat kritis tersendiri mengenai budaya politik kepartian sesetengah pihak yang dianggap kurang menguntungkan komuniti terpilih.

“Anak muda yang ada kudrat bekerja jangan ambil BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) umpamanya, supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat mesej yang betul bahawa duit berbilion ringgit itu lebih wajar disalurkan kepada komuniti terpilih seperti warga emas, ibu tunggal, murid-murid, OKU (orang kurang upaya) dan sebagainya.

“Pakatan Rakyat dapat undi majoriti lebih 51 peratus di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum lepas, bayangkan jika majoriti mereka khususnya anak muda tak ambil BR1M ini.

“Duit atau ceramah politik semata-mata sebenarnya tidak boleh membeli jiwa rakyat, kerana jiwa rakyat khususnya golongan terpilih ini boleh dipujuk untuk menyokong aspirasi perjuangan kita dengan kerja-kerja kebajikan.

“Ini mesej kami dalam Skuad Prihatin Seberang Jaya cuba buat, iaitu memupuk budaya politik berasaskan kerja-kerja kebajikan, bukan setakat cakap-cakap di pentas ceramah sahaja.

“Satu lagi impian saya, saya nak buat pameran sistem pondok di Pulau Pinang dalam satu galeri di Seberang Jaya ini, kerana Seberang Jaya ini berpotensi untuk menjadi pusat perkembangan kebudayaan komuniti.

“Impian saya, memang nak mengumpulkan anak muda untuk menghidupkan budaya gotong-royong, biar tanggungjawab menjaga warga emas yang terbiar boleh sampai menjadi tanggungjawab komuniti.

“Segala yang kita lakukan adalah atas kepercayaan yang kita pegang, macam saya yang menggerakkan Skuad Kebajikan Seberang Jaya ini pun atas pesanan ibu saya (iaitu), ‘Jika buat sesuatu yang baik, lakukanlah sehingga selesai’,” kata beliau.

if (document.currentScript) {